Lembu korban seberat 825 kilogram disumbang Joko Widodo untuk Masjid Taqwa, Jembrana, Bali.- Gambar Hiasan
BALI: Suasana ibadah korban di sebuah kampung di Bali menjadi kecoh selepas lembu sumbangan Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) secara tiba-tiba bangun semula setelah beberapa saat disembelih.
Menurut Utusan Malaysia, kejadian berlaku ketika pelaksanaan ibadah korban di Masjid Taqwa, di Pekutatan, Jembrana selepas solat sunat Aidiladha, pada Isnin lalu.
Sejurus lembu disembelih, ia secara tiba-tiba bangun semula sehingga memaksa 30 petugas korban mengawal keadaan.
Bagaimanapun, lembu seberat 825 kilogram (kg) itu kembali tumbang tidak lama kemudian.
Ketua Jawatankuasa Korban Aidiladha Masjid Taqwa Pekutatan, Dirmawan berkata, lembu itu adalah sumbangan Jokowi kepada masyarakat di Jembrana.
Beliau berkata, lembu korban itu adalah jenis lembu Bali yang diambil dari penternak di Kabupaten Gianyar.
“Memang (lembu presiden) menjadi tumpuan sekitar 300 warga di sini. Kami tidak pernah meminta haiwan korban, memang rezeki dari Tuhan, jadi kami diberikan lembu korban oleh presiden,” kata Dirmawan.
Lembu itu diserahkan kepada jawatankuasa masjid pada 16 April lalu, dengan pemeriksaan kesihatan dilakukan sebelum korban dibuat.
“Dari seluruh daging korban termasuk sumbangan presiden itu kami jadikan satu supaya tiada perbezaan dan adil untuk diagihkan kepada penerima,” katanya.
Sumbangan lembu korban oleh Jokowi adalah kali kedua yang diterima oleh masyarakat Jembrana.
Bantuan lembu korban pertama diberikan ke Masjid Agung Baitul Qodim di Kelurahan Loloan Timur pada Aidiladha dua tahun lalu.


























