BATU GAJAH: Berang kerana isteri mahu meneruskan tuntutan fasakh, menjadi punca seorang lelaki bertindak di luar kawalan apabila menikam wanita itu hingga mati.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Md Noor Aehawan Mohammad berkata, lelaki berusia 36 tahun itu menikam isterinya menggunakan sebilah pisau yang dijumpai di lokasi kejadian.
Katanya, kejadian di sebuah hotel di Pekan Batu Gajah itu terbongkar selepas suspek sendiri tampil menyerah diri kepada polis sekitar pukul 2 petang.
“Suspek hadir ke Balai Polis Batu Gajah dan mengaku telah membunuh isterinya berusia 32 tahun di sebuah bilik di hotel berkenaan.
“Pemeriksaan di hotel tersebut menemukan mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri bersama senjata yang digunakan untuk menikamnya. Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya di sini kelmarin.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati motif suspek melakukan perbuatan itu kerana tidak berpuas hati dengan tindakan isterinya yang mahu meneruskan tuntutan fasakh walaupun telah dipujuk.
Katanya, berdasarkan semakan, pasangan suami isteri itu datang ke hotel berasingan dan menginap di hotel itu sejak Rabu.
“Suspek ditangkap untuk siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan, Asisten Superintenden V. K. Gunaselan di talian 012-3634341,” katanya.


























