Keadaan di lokasi kejadian. – Ihsan Bomba
KOTA KINABALU: Enam orang cedera apabila sebuah bas ekspres Semporna-Lahad Datu-Kota Kinabalu berkapasiti 32 penumpang dipercayai hilang kawalan dan terjatuh ke dalam gaung sedalam 50 meter di Batu 9 Jalan Silam, Lahad Datu, malam tadi.
Mereka berjaya dikeluarkan dari dalam bas ekspres itu oleh pasukan penyelamat, manakala baki seramai 13 orang lagi berjaya keluar sendiri.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah berkata, sepasukan 20 anggota diketuai Komander Operasi, PPgB Sumsoa Rashid daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu dikejarkan ke lokasi kejadian 23 kilometer dari BBP selepas panggilan kecemasan diterima menerusi talian MERS 999 pada jam 9.24 malam.

Setiba di lokasi, mereka turut dibantu oleh tiga anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) dan anggota-anggota daripada agensi-agensi yang lain.
Katanya, lebih separuh iaitu 13 mangsa telah keluar dengan sendirinya dari bas ekspres dan pasukan bomba mengeluarkan enam orang mangsa cedera.
Mangsa diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia dan diberi rawatan awal di lokasi kejadian, tambahnya.

Kesemua mangsa dihantar ke hospital dengan menaiki ambulans dan jentera EMRS Bomba bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Katanya, operasi ditamatkan pada jam 11.30 malam setelah memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain di lokasi.
Maklumat mangsa tidak diperolehi.


































