Keadaan di lokasi kejadian. – Ihsan Bomba
KOTA KINABALU: Seorang lelaki berusia 40 tahun maut selepas kereta dipandunya terbabas sendiri dan melanggar tiang konkrit jejantas di Jalan Tunku Abdul Rahman, di sini, tengah malam tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Sabah, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, berkata, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu melalui talian balai pada jam 12.58 tengah malam.
Sepasukan 10 anggota diketuai Komander Operasi, PBK II Welson Juanis tiba di lokasi kejadian terletak tiga kilometer daripada BBP pada jam 1.02 pagi.
Mereka berjaya mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kereta jenis Toyota Crown Athlete, katanya, sambil menambah mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di tempat kejadian.
Mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Operasi ditamatkan pada jam 2.30 pagi


































