Ewon melakukan upacara pecah tanah untuk projek menaik taraf Jambatan Sungai Moyog, Stesen Perikanan Babagon, Kg. Timpangoh-Kg. Lotong.
PENAMPANG: Penantian lebih 5,000 penduduk kampung Mukim Babagon untuk menikmati kemudahan jambatan konkrit yang lebih selesa kini berakhir.
Penaiktarafan Jambatan Sungai Moyog bernilai RM16.8 juta itu yang akan dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah dijangka siap dalam tempoh 24 bulan.
Skop kerja itu melibatkan pembinaan jambatan sepanjang 90 meter melibatkan jambatan konkrit dan jalan raya.
Upacara pecah tanah untuk projek menaik taraf Jambatan Sungai Moyog, Stesen Perikanan Babagon, Kg.Timpangoh-Kg. Lotong itu disempurnakan oleh Ahli Parlimen Penampang yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, hari ini.
Ketika ditemui pemberita, Ewon berharap, projek pembinaan jambatan itu dapat disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan untuk manfaat penduduk kampung.
“Jambatan ini merupakan satu kemudahan yang sudah lama diimpi-impikan oleh ribuan penduduk Mukim Babagon sejak sekian lamanya untuk mereka memasarkan hasil-hasil pertanian.
“Sebelum ini hanya satu laluan keluar penduduk kampung iaitu Low level crossing di Babagon, tetapi ia sukar dilalui apabila hujan lebat atau banjir kerana air sungai deras.
“Pada hari ini, apabila siapnya jambatan ini nanti dalam tempoh dua tahun, ia akan menjadi laluan utama masyarakat kampung.
“Ini merupakan satu sumbangan kerajaan kepada rakyat dan saya berharap kemudahan ini dapat memberi manfaat sepenuhnya kepada penduduk kampung terutamanya berkaitan pencarian pendapatan ekonomi masyarakat, pendidikan dan juga pekerjaan,” katanya.
Ewon berkata, selain itu, kementeriannya juga telah menyalurkan peruntukan berskala kecil untuk menaik taraf Tamu Babagon dengan kos RM300,000 dan juga pembinaan sebuah bangunan Sunday School untuk gereja di kawasan itu melibatkan kos RM200,000 daripada peruntukan Ahli Parlimen Penampang.
Beliau berkata, di samping projek-projek pembangunan berskala kecil dan besar, beliau juga telah membangunkan Pelan Pembangunan Penampang yang mencakupi semua isu, cabaran serta keperluan dan cadangan pembangunan daerah Penampang termasuk yang berskala besar.
“Ini akan menjadi tanggungjawab saya untuk mendapatkan komitmen daripada menteri-menteri dan kementerian-kementerian lain yang berkaitan di peringkat Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah supaya Pelan Pembangunan ini dapat dimasukkan dalam Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13),” katanya.
Pelan Pembangunan Penampang jadi input penyediaan RMK13
Sementara itu, Ewon berkata, Pelan Pembangunan Penampang akan menjadi input untuk penyediaan rancangan pembangunan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Beliau berkata, ini kerana semua isu, cabaran, keperluan dan cadangan pembangunan berskala kecil, sederhana dan besar dimasukkan dalam pelan pembangunan itu.
“Saya percaya pendekatan ini lebih sesuai berbanding memohon peruntukan daripada kementerian-kementerian berkenaan secara berasingan.
“Inilah cara kita, membawa perkhidmatan dan peruntukan yang diperlukan untuk menyelesaikan masalah rakyat Penampang serta memenuhi keperluan penduduk di sini. Keperluan dan penyelesaian masalah rakyat Penampang ini boleh dibawa dalam rancangan kementerian masing-masing menerusi Pelan Pembangunan Penampang.
“Oleh itu menjadi tanggungjawab saya mendapatkan komitmen daripada menteri-menteri dan kementerian-kementerian lain yang berkaitan di peringkat Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah supaya Pelan Pembangunan ini dapat dimasukkan dalam Rancangan Malaysia ke-13 (RMK-13),” katanya.
Pelan Pembangunan Penampang mencakupi enam prinsip pembangunan iaitu ketersediaan kemudahan asas, kemakmuran sosio ekonomi, teknologi dan inovasi, kecemerlangan urus tadbir, kemampanan alam sekitar dan seni budaya dan warisan.
Ewon berkata, dari segi pembangunan keusahawanan dan koperasi, kementeriannya mempunyai 10 agensi yang menyediakan pelbagai skim pembiayaan dan geran untuk usahawan.
Selain itu katanya, beliau juga telah memperkenalkan pelbagai inisiatif baharu khusus untuk usahawan Sabah dan Sarawak, antaranya Projek Tamu Desa dan Program Peningkatan Enterpris Bumiputera (BEEP) Plus.
“Bagi kawasan Babagon, saya telah menyalurkan peruntukan menaik taraf Tamu Babagon dengan kos RM300,000.”


































