Pasukan Bomba mengangkat mayat murid sekolah ditemukan lemas semasa bermandi-manda di pantai Kampung Bakasan, Karambunai, di Kota Kinabalu hari ini- Ihsan Bomba
KOTA KINABALU: Kegembiraan sekumpulan murid bermandi-manda bertukar menjadi tragedi apabila seorang daripada mereka ditemukan lemas di pantai Kampung Bakasan, Karambunai, di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9 pagi itu, murid lelaki berusia 12 tahun itu ditemukan lemas selepas lebih sejam operasi mencari dan menyelamat dilakukan.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Ordine Gilu berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 8.57 pagi dan sepasukan 11 pegawai dan anggota bergegas ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 29 kilometer dari BBP Kota Kinabalu.
Beliau berkata, sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian, didapati seorang murid lelaki dari Sekolah Indonesia Kota Kinabalu (SIKK) lemas di pantai semasa menjalankan aktiviti riadah.
“Pasukan Bomba menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) menggunakan kaedah pencarian di atas permukaan air menggunakan bot penyelamat di kawasan mangsa dilaporkan hilang.
“Mangsa berjaya ditemukan pada pukul 10.25 pagi pada jarak 40 meter dari pesisir pantai dalam kedalaman dua meter,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

































