KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengaktifkan Pusat Sehenti Jemaah Haji Terkandas di pejabat Polis Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, hari ini.
Menurut Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pusat sehenti berkenaan sudah memulakan operasi bermula 8 pagi ini sehingga pada 12 tengah malam, 21 Jun ini.
Beliau berkata, seramai 40 pegawai dan anggota daripada pasukan khas ditugaskan selama 11 hari bagi membantu kes jemaah haji terkandas.
Katanya, pasukan turut mendapat kerjasama Lembaga Tabung Haji dan Kementerian Pelancongan.
“Pasukan ini akan memberi kemudahan kepada jemaah haji yang terkandas di KLIA sebelum berlepas mahupun jemaah haji yang terkandas di Saudi dan tidak dapat mengerjakan haji.
“Mereka akan menerima laporan dari jemaah haji terbabit dan mengenal pasti apakah kesalahan berlaku mengikut lunas undang-undang,” katanya dalam sidang akhbar di Menara KPJ di sini, hari ini.
Bagaimanapun, Ramli berkata, setakat ini belum ada laporan mengenai jemaah haji terkandas di KLIA diterima.
































