KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) melalui Jabatan Penguatkuasaan telah mengeluarkan 19 keping kompaun semasa Ops Tunda diadakan di sekitar Jalan Tun Fuad Stephens dan Jalan 20, di sini, pada 5 Jun lalu.
DBKK dalam kenyataan memaklumkan, kompaun tersebut dikenakan terhadap
individu-individu yang didapati ingkar dan melakukan kesalahan di bawah Undang-undang Kecil (Peruntukan Tempat-tempat Letak Kereta Awam) (Letak Kereta Berkupon, Bandaraya Kota Kinabalu, 2014).
“Sementara itu, sebuah kenderaan telah ditunda atas sebab menghalang lalu lintas di Jalan Tun Fuad Stephens dan pemilik telah menjelaskan bayaran kos penundaan berjumlah RM100 serta kompaun berjumlah RM100. Kenderaan individu berkenaan telah diserahkan semula setelah kedua-dua bayaran diselesaikan,” kata kenyataan itu.
Operasi yang bermula pada pukul 3 petang hingga 11 malam itu telah dilaksanakan oleh seramai sembilan orang anggota penguat kuasa DBKK.
DBKK mengingatkan masyarakat awam agar sentiasa mematuhi peraturan-peraturan yang ditetapkan dan tidak meletakkan kenderaan di tempat yang tidak dikhaskan sehingga boleh menganggu kepada aliran lalu lintas.
Pelaksanaan Ops Tunda oleh Jabatan
Penguatkuasaan, DBKK akan diteruskan secara berkala dan dari masa ke masa, bagi mendidik dan meningkatkan tahap kesedaran warga bandaraya Kota Kinabalu untuk terus menghormati dan memelihara kedaulatan undang-undang yang berkuat kuasa.






























