Penjara terkecil di Pulau Sark.
PARIS: Pulau Sark yang terkecil di Kepulauan Channel antara Perancis dan England menjadi lokasi kepada penjara terkecil di dunia yang masih digunakan sehingga kini.
Menurut Utusan Malaysia, Oddity Central melaporkan, tiada kereta, jalan raya dan lampu jalan di Pulau Sark yang berukuran kurang lima kilometer dengan populasi di bawah 600 orang.
Tetapi terdapat sebuah penjara dibina sejak tahun 1856 yang hanya mempunyai dua sel dipisahkan oleh koridor sempit dan memegang Rekod Dunia Guinness untuk penjara terkecil di dunia.
Kedua-dua sel itu hanya mempunyai katil kayu kecil dengan tilam nipis dan banduan hanya boleh ditahan di situ selama maksimum dua hari, sebelum dipindahkan ke kemudahan penjara yang lebih besar di Guernsey.
Menurut laman web Sark Estate, Mahkamah Guernsey mengarahkan penjara baharu dibina pada 1832, kerana penjara asal dianggap tidak sesuai, tetapi disebabkan kekangan bajet, ia mengambil masa lebih dua dekad untuk memulakan pembinaan kemudahan baharu itu.
Penguatkuasaan undang-undang di pulau itu tidak menerima laporan jenayah dengan kerap.
Tetapi penjara itu secara teknikalnya masih beroperasi dan dua sel itu kerap dihuni oleh pelancong yang bergaduh atau penduduk tempatan yang mabuk.