PETALING JAYA: Polis menahan seorang pempengaruh selepas didakwa menunjukkan kemaluan menerusi panggilan telefon terhadap seorang wanita, semalam.
Penahanan suspek berusia 27 tahun itu yang juga pencipta kandungan dilakukan sekitar pukul 2.25 petang, selepas polis menerima laporan kejadian itu pada 17 Mei lalu.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner, Mohamad Lazim Ismail berkata, mangsa seorang wanita tempatan berusia 24 tahun mendakwa suspek melakukan perbuatan mengaibkan kehormatan menerusi panggilan video.
“Mangsa memaklumkan telah menerima panggilan video tersebut daripada suspek yang dikenalinya ketika berada di rumahnya di Taman Melewar, dekat ini.
“Hasil siasatan awal, polis mendapati mangsa telah berkenalan dengan suspek sejak awal bulan Mei lalu melalui aplikasi Instagram,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Kata beliau, suspek telah membuat panggilan video kepada mangsa dan didakwa menunjukkan alat sulitnya dan bercakap lucah dengannya.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.
“Suspekdibebaskan dengan jaminan polis dan kertas siasatan sedang dilengkapkan sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR),” katanya.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati sewaktu menggunakan media sosial dan tidak mudah terpedaya dengan individu yang baru dikenali.
“Sekiranya mempunyai sebarang maklumat, orang ramai boleh menyalurkan ke Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999, Hotline Polis Wangsa Maju di talian 03-92899222 atau mana-mana balai polis berdekatan,” katanya.


































