MELAKA: Anak muda harus dikenali kerana idealisme yang dibawa terutama dalam pembasmian penyelewengan dan rasuah, tegas Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Utusan Malaysia, ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Belia Negara (HBN) 2024 di sini, Perdana Menteri berkata, penilaian terhadap dasar-dasar kerajaan juga perlu dibuat berdasarkan ilmu dengan memberi contoh pelaksanaan penyasaran subsidi diesel yang diumumkan beliau, baru-baru ini.
“Anak muda itu dikenali bukan suaranya, tetapi kerana cita-cita murninya, kerana idealismenya benci kepada penyelewengan, rasuah dan keangkuhan. Cinta kepada kebenaran dan kebaikan, maka kita mesti menolak fahaman perkauman sempit, fahaman agama jumud yang melemahkan kita,” katanya di Dataran Pahlawan, Banda Hilir di sini.
Dalam perkembangan lain, Anwar memberitahu, rang undang-undang (RUU) berkaitan Suruhanjaya Pekerja Gig akan dibentangkan di Parlimen, Julai ini.
Katanya, Kabinet bersetuju untuk membentuk kerangka bagi memenuhi keperluan kumpulan itu yang sebahagian besarnya terdiri daripada golongan belia.
“Baru-baru ini ada usul para belia, dia minta adakan Suruhanjaya Pekerja Gig kerana puluhan ribu, malahan mencecah 100,000 anak muda dalam ekonomi gig.
“Kerajaan terus bersetuju dan kita akan persiapkan undang-undang dan insya-Allah boleh dibentang di Parlimen pada Julai akan datang. Maknanya apabila kita dengar suara belia, kita cuba bukan sekadar santuni tetapi laksanakan sebaiknya,” kata beliau.
Sementara itu dalam hantaran di akaun Facebook, Perdana Menteri menjelaskan, Malaysia bersedia untuk menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada mangsa tanah runtuh di wilayah Enga, Papua New Guinea
Menurutnya, bencana yang meragut ratusan nyawa itu berlaku di kawasan terpencil yang bergunung-ganang dan berceranggah.
Beliau berkata, Malaysia akan membantu sebagai respons kemanusiaan terhadap tragedi yang amat mencabar.
“Saya memikirkan nasib malang penduduk Papua New Guinea berikutan tanah runtuh dahsyat yang meragut lebih seratus nyawa di wilayah Enga.
“Ia berlaku di kawasan terpencil, bergunung-ganang dan berceranggah pada awal pagi Jumaat, respons kemanusiaan terhadap tragedi ini akan menjadi amat mencabar.
“Malaysia bersedia untuk memberikan bantuan kepada saudara-saudara kita di Papua New Guinea,” ujarnya.