Syarikat easyJet menguruskan lebih 2,000 penerbangan setiap hari.
LONDON: Syarikat easyJet mengumumkan penggunaan kecerdasan buatan (AI) di pusat kawalan baharunya yang membantu pasukan operasi menguruskan penerbangan dengan lebih baik dan lancar.
Kakitangan yang berpangkalan di pusat kawalan bersepadu berhampiran Lapangan Terbang Luton, Bedfordshire kini diberi kemudahan akses kepada alat AI generatif Jetstream.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Eksekutifnya, Johan Lundgren berkata, kemudahan baharu itu membantu mereka menyelesaikan isu untuk juruterbang dan kru di darat dengan lebih cepat dan hadir tepat pada masanya ketika kesibukan cuti musim panas.
“Lebih 250 kakitangan bekerja di pusat kawalan menguruskan program harian easyJet yang melibatkan kira-kira 2,000 penerbangan.
“AI akan meramalkan keperluan kru siap sedia dan mengesyorkan pilihan kakitangan terbaik untuk setiap operasi,” katanya kepada BBC.
Lundgren berkata, kakitangannya kini boleh mendapat manfaat daripada hab moden dan tersusun setiap kali datang bekerja.
“Walaupun anda tidak selalu dapat melihatnya, teknologi ini sudah bekerja keras di udara dan di lapangan untuk membantu kami meramalkan makanan dan minuman yang diperlukan untuk laluan tertentu.
“AI juga membantu mengurangkan sisa makanan, memudahkan keputusan penyelenggaraan ramalan dan membantu memilih pesawat yang sesuai untuk memadankan permintaan. Justeru kami akan terus melabur dan mendalami pengetahuan serta penggunaan AI kami,” tambahnya.