Anwar Ibrahim
PETALING JAYA: Penyasaran subsidi diesel bukanlah bertujuan menyusahkan rakyat sebaliknya ditujukan kepada golongan kaya dan warga asing yang telah lama menikmati subsidi daripada bahan api berkenaan.
Menurut Utusan Malaysia, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelaksanaan itu tidak membabitkan majoriti rakyat malah mereka diberikan pengecualian serta bantuan menampung kenaikan kos.
Katanya, syarikat-syarikat besar pula dipantau bagi membendung kenaikan harga barang dan perkhidmatan.
“Mengapa dia (Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin) sibuk menentang penyasaran (subsidi). Dia nak pertahankan siapa? Kita tekankan penyasaran subsidi ini untuk menarik subsidi dari golongan kaya dan warga asing.
“Diesel tidak digunakan majoriti rakyat dan bagi golongan terkait seperti pemandu teksi, peniaga kecil, nelayan, semua diberi pengecualian dan bantuan untuk menampung kenaikan kos itu.
“Adakah Perikatan Nasional (PN) akan terus memberi subsidi kepada orang kaya dan warga asing (jika mereka berkuasa)? Jawab itu dulu. Itulah yang akan menggusarkan rakyat,” katanya dalam sidang media bersama wartawan Malaysia selepas mengakhiri siri lawatan kerja ke Jepun, Khamis.
Media baru-baru ini melaporkan Hamzah mendakwa pengumuman Anwar menimbulkan rasa kurang senang orang ramai serta gagal menyatakan secara tepat bila subsidi akan dihapuskan.
Anwar berkata secara prosedur, lazimnya Perdana Menteri akan mengumumkan dasar dan menteri berkaitan akan memberikan butiran dan tindakan susulan.
“Dia pernah jadi menteri, kenapa dia tanya soalan seperti itu? Benda ini dilakukan sejak sebelum merdeka,” katanya.
Selasa lalu, Anwar mengumumkan Jemaah Menteri bersetuju untuk melaksanakan penyasaran subsidi ke atas bahan api diesel yang melibatkan pengguna di Semenanjung dan subsidi itu melibatkan 10 jenis kenderaan pengangkutan awam dan 23 jenis kenderaan pengangkutan barangan di bawah sistem kawalan diesel bersubsidi.
Mengulas tentang lawatan kerja ke Jepun, Anwar berkata, ia membuahkan hasil apabila meraih potensi pelaburan baharu bernilai RM1.45 bilion manakala potensi eksport berjumlah RM550 juta.
Malah, beliau menyifatkan secara keseluruhannya lawatan tiga hari itu mencapai objektifnya daripada aspek mengukuhkan persahabatan antara kedua-dua negara yang terjalin menerusi pelbagai bidang.
“Selain itu, lawatan ini juga berjaya meraih potensi pelaburan baharu bernilai RM1.45 bilion manakala potensi eksport berjumlah RM550 juta.
“Penghargaan saya kepada kementerian, agensi kerajaan, pihak kedutaan serta rakan-rakan media yang bersama dalam memastikan lawatan ini berhasil,” katanya dalam Facebook beliau semalam.
Perdana Menteri yang berada Tokyo, Jepun bagi menghadiri Persidangan Antarabangsa Mengenai Masa Depan Asia ke-29 (Persidangan Nikkei) telah bertemu dengan rakan sejawatannya dari Jepun, Fumio Kishida untuk mesyuarat dua hala.
Dalam pertemuan itu, Anwar dan Kishida membincangkan dan menilai kemajuan kerjasama antara kedua-dua negara meliputi bidang pelaburan, perdagangan, teknologi tinggi, peralihan tenaga, kerjasama alam sekitar, pertahanan dan keselamatan, pembangunan keupayaan dan bakat serta pendidikan tinggi.






























