Omar Omran yang hilang selama 26 tahun ditemukan di bilik bawah tanah di kediaman jirannya di Djelfa, Algeria.
ALGIERS: Seorang lelaki Algeria yang hilang lebih 26 tahun lalu akhirnya ditemui masih hidup di kawasan bilik bawah tanah jirannya yang hanya terletak sekitar 200 meter dari rumah keluarganya.
Menurut Utusan Malaysia, Oddity Central melaporkan,, Omar Omran baru berusia 17 tahun ketika dia hilang dari rumahnya di Djelfa, Algeria, pada pagi tahun 1998.
Kejadian itu berlaku semasa Perang Saudara Algeria, menyebabkan ramai keluarga dan rakan-rakannya menyangka dia menjadi antara 200,000 orang yang terbunuh semasa konflik itu.
Pihak berkuasa berhenti mencarinya selepas beberapa ketika, namun ibunya tidak pernah putus harapan.
Malangnya, wanita itu meninggal dunia pada 2013 dan Omar menjadi satu lagi kes yang mungkin tidak akan dapat diselesaikan.
Tetapi awal minggu ini, abang kepada salah seorang jiran Omar mendedahkan di media sosial bahawa adiknya terlibat dalam penculikan lelaki itu selepas mereka terlibat dalam pertikaian mengenai harta pusaka
Saudara Omar yang melihat siaran itu segera menghubungi polis dan pejabat pendakwa raya Algeria akhirnya membenarkan pemeriksaan terhadap kediaman jiran yang disyaki itu.
Pada 12 Mei lalu, Omar yang kini sudah berusia 41 tahun ditemui dalam kurungan kandang biri-biri di bawah timbunan jerami di kediaman itu.
Suspek lelaki berusia 61 tahun itu cuba melarikan diri ketika serbuan dibuat tetapi berjaya ditahan polis.
Doktor mengesahkan Omar mengalami masalah fizikal dan mental malah kelihatan keliru ketika melihat polis turun ke tempat dia dikurung.
Siasatan kes berkenaan masih diteruskan, tetapi Omar memberitahu polis dia sering melihat ahli keluarganya dari bilik bawah tanah itu, tetapi tidak dapat menghubungi mereka untuk mendapatkan bantuan.
Media Algeria mendakwa lelaki itu hanya membisu selama bertahun-tahun gara-gara disihir oleh penculiknya.
























