Bulu burung huia termahal yang dilelong di Rumah Lelong Webb di New Zealand.
WELLINGTON: Sehelai bulu burung huia yang sudah pupus memecah rekod paling mahal di dunia apabila dijual pada harga AS$28,417 (RM133,931) di sebuah rumah lelongan di New Zealand.
Rumah Lelong Webb berkata, bulu itu awalnya dijangka dijual sekitar AS$1,800 (RM8,483), tetapi berjaya mengatasi rekod lelongan sebelumnya sebanyak AS$5,150 (RM24,273) yang dicatat oleh bulu burung spesies sama pada 2010.
Burung huia dianggap suci oleh orang Maori, dan bulu unggas tersebut sering diletakkan pada hiasan kepala ketua dan keluarga suku kaum tersebut.
Penampakan terakhir burung huia yang disahkan adalah pada tahun 1907, walaupun kelibat yang tidak disahkan dilaporkan dalam tempoh 30 tahun berikutnya.
“Kami sangat berbesar hati kerana bahan sejarah semula jadi yang sangat jarang ditemui ini mencapai minat pembida yang begitu besar, menonjolkan kerapuhan ekosistem kita dan kepentingan menjaga faunanya,” kata Ketua Seni Hiasan Rumah Lelong Webb, Leah Morris.
Morris memberitahu BBC, bulu burung yang memecahkan rekod bidaan itu dalam keadaan yang indah dan sempurna.
“Ia masih mempunyai kilauan yang sangat jelas, dan tiada kerosakan akibat gigitan serangga,” katanya.
Bulu itu didaftarkan di bawah program perlindungan objek yang mempunyai kepentingan budaya kepada orang Maori.
Program ini memerlukan semua pembida menjadi pengumpul berdaftar, malah bulu itu tidak boleh dibawa keluar dari New Zealand tanpa kebenaran bertulis daripada Kementerian Kebudayaan dan Warisan.






























