Sydney Engelbert guru bahasa Inggeris di Kolej Vokasional Keningau, Sabah, Malaysia, pemenang global Anugerah Guru Berdedikasi Cambridge 2024.
PETALING JAYA: Kumpulan Pendidikan Antarabangsa di Cambridge University Press & Assessment (Cambridge) mengumumkan Sydney Engelbert, guru bahasa Inggeris di Kolej Vokasional Keningau, Sabah, Malaysia, sebagai pemenang global Anugerah Guru Berdedikasi Cambridge 2024.
Menurut Utusan Malaysia, dalam kenyataannya, Pengarah Rantau Asia Tenggara & Pasifik Cambridge, Kanjna Paranthaman berkata, Sydney telah dicalonkan atas komitmennya terhadap kerjasama silang budaya.
“Sekalung tahniah kepada Sydney. Beliau adalah pemenang yang layak dalam usahanya memperluaskan pengalaman antarabangsa pelajar tanpa mereka meninggalkan bilik darjah.
“Di Cambridge, kami percaya bahawa peranan sebuah sekolah bukan sahaja untuk mengejar kecemerlangan akademik, tetapi juga untuk memotivasi dan memperkasakan pembelajaran sepanjang hayat, berfikiran kritis, produktif dengan nilai dan etika secara global,” katanya.
Menurut beliau, Sydney memenangi anugerah itu sebagai pengiktirafan terhadap usahanya memperkaya pengalaman pembelajaran penuntutnya menerusi program pertukaran dalam talian yang dimulakan beliau pada 2022, membabitkan beberapa kolej vokasional di Malaysia, Filipina, Kemboja dan Indonesia.
Anugerah Guru Berdedikasi Cambridge yang kini memasuki tahun keenam, memberi peluang kepada pelajar, ibu bapa, dan guru-guru lain untuk mencalonkan guru sekolah rendah atau menengah yang telah menunjukkan komitmen luar biasa terhadap pendidikan pelajar mereka.
Anugerah 2024 ini juga menyaksikan jumlah pencalonan yang mencatatkan rekod daripada individu yang ingin mengucapkan terima kasih kepada seorang guru iaitu melibatkan seramai 14,840 pencalonan dari 141 negara berbeza, melebihi rekod sebelum ini dengan lebih daripada 1,000 pencalonan.
Sehubungan itu, Ketua Penyelidikan dan Inovasi Kolej Vokasional Keningau, Sabah, Dr. Sirhajwan Idek berkata, Sydney telah dicalonkan untuk anugerah tersebut kerana kesan transformasi yang telah beliau berikan kepada para pelajar.
“Komitmennya yang teguh bukan sahaja untuk meningkatkan kemahiran bahasa Inggeris tetapi juga memperkaya pemahaman budaya melalui program pertukaran dalam talian ini benar-benar mengagumkan.
“Beliau bukan hanya mengajar tetapi beliau telah membuka pintu bagi pelajar-pelajar kami ke dunia luar, membangkitkan semangat untuk belajar, dan berhubung dengan pelajar lain secara global,” ujarnya.
























