Anwar Ibrahim berangkat pulang ke Kuala Lumpur selepas tiga hari di Tokyo, Jepun.
PETALING JAYA: Lawatan kerja Perdana Menteri ke Jepun membuahkan hasil apabila meraih potensi pelaburan baharu bernilai RM1.45 bilion manakala potensi eksport berjumlah RM550 juta.
Menurut Utusan Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan secara keseluruhannya lawatan tiga hari itu mencapai objektifnya daripada aspek mengukuhkan persahabatan antara kedua-dua negara yang terjalin menerusi pelbagai bidang.
“Selain itu, lawatan ini juga berjaya meraih potensi pelaburan baharu bernilai RM1.45 bilion manakala potensi eksport berjumlah RM550 juta.
“Penghargaan saya kepada kementerian, agensi kerajaan, pihak kedutaan serta rakan-rakan media yang bersama dalam memastikan lawatan ini berhasil,” katanya dalam Facebook beliau hari ini.
Perdana Menteri yang berada Tokyo, Jepun bagi menghadiri Persidangan Antarabangsa Mengenai Masa Depan Asia ke-29 (Persidangan Nikkei) telah bertemu dengan rakan sejawatannya dari Jepun, Fumio Kishida untuk mesyuarat dua hala.
Dalam pertemuan itu, Anwar dan Kishida membincangkan dan menilai kemajuan kerjasama antara kedua-dua negara meliputi bidang pelaburan, perdagangan, teknologi tinggi, peralihan tenaga, kerjasama alam sekitar, pertahanan dan keselamatan, pembangunan keupayaan dan bakat serta pendidikan tinggi.
Beliau seterusnya mengadakan sesi perbincangan dengan pemain utama industri dan pimpinan syarikat terkemuka di negara ini bagi menarik pelaburan ke Malaysia dan antaranya adalah IHI Corporation, Nisshin OilliO Group Ltd., Tokuyama Corporation, Sumitomo Corporation, ENEOS, Mitsubishi Corporation dan Tokyo Gas.
Peluang pelaburan di Malaysia yang disentuh adalah merangkumi industri minyak dan gas, tenaga boleh baharu, hidrogen dan amonia, industri halal dan semikonduktor.
Selain itu, Anwar juga bertemu rakan sejawat dari Thailand, Srettha Thavisin untuk menilai kemajuan kerjasama dua hala antara kedua-dua negara merangkumi pelbagai perkara.
Beliau mengakhiri lawatan kerja dengan menyampaikan ucapan bagi meraikan jasa dan peranan seorang pemikir dan tokoh filasuf Jepun, Prof Toshihiko Izutsu di Universiti Keio dan menunaikan solat Jumaat di Masjid Camii, Tokyo sebelum berlepas pulang ke tanah air.
 
























