KOTA KINABALU: Seorang lelaki cedera setelah dipercayai terkena tembakan senapang angin semasa berada di sebuah taman di Luyang, di sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, pemangku Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, pihaknya menerima maklumat pada jam 9.31 pagi daripada seorang lelaki memaklumkan rakan sekerjanya berusia 23 tahun dipercayai terkena tembakan senapang angin di salah sebuah taman di Luyang.
Katanya, siasatan awal mendapati, semasa kejadian mangsa bersama dua orang rakannya sedang rehat daripada memotong rumput dan tiba-tiba mangsa berasa sakit di bahagian lengan sebelah kanan dan pendarahan.
“Mangsa tidak mendengar sebarang bunyi tembakan memandangkan semasa kejadian bunyi persekitaran agak bising dengan mesin rrumput.
“Mangsa cedera iaitu luka tembus di bahagian belakang lengan sebelah kanan dan luka kecil di bahagian tepi rusuk kanan,” katanya.
Kasim berkata, Polis Kota Kinabalu telah membuat tangkapan terhadap suspek dan rampasan beberapa senjata tiruan termasuk tiga bilah kerambit buatan sendiri di belakang pintu bilik suspek telah ditemui.
Kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 36 Akta Senjata 1960.
Beliau turut menasihati orang ramai supaya tidak memiliki atau menggunakan senjata tiruan kerana ia salah di sisi undang-undang.


































