KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah (PBS) menyeru rakyat Sabah untuk terus bersatu dalam usaha menuntut 40 peratus daripada hasil bersih diperoleh Kerajaan Persekutuan daripada negeri ini.
Timbalan Presidennya, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berkata, sebagai perintis dalam memperjuangkan hak Sabah, PBS tidak pernah goyah dalam usaha menuntut apa yang menjadi hak milik negeri.
Beliau berkata, perlu diakui bahawa, dalam apa jua keadaan, PBS memenangi empat Pilihan Raya Negeri (PRN) berturut-turut pada 1985, 1986, 1990 dan 1994 kerana komitmennya memperjuangkan kepentingan Sabah seperti yang termaktub dalam Laporan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Intergovernmental Committe (IGC).
“PBS akan terus teguh memperjuangkan hak negeri yang telah lama menjadi perjuangan teras PBS sejak penubuhannya pada 1985,” kata Dr. Joachim, yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah.
“Pemberian 40 peratus itu bukan sekadar aspirasi seperti yang didakwa oleh peguam Tengku Datuk Fuad Ahmad. Kami sangat tegas dengan pendirian kami dan kami akan memperjuangkan hak Sabah dan rakyat Sabah, selama mana yang diperlukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebagai komponen utama Gabungan Rakyat Sabah (GRS), PBS berdiri teguh bersama Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dalam rundingan berterusan dengan Putrajaya untuk mendapatkan kembali 40 peratus yang terhutang kepada Sabah.
Beliau berkata, PBS melalui Presidennya, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili, yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) telah mengetengahkan isu ini dengan Perdana Menteri ketika itu melalui Majlis Khas MA63.
Dr. Joachim berkata demikian sebagai reaksi terhadap Fuad yang hadir secara tiba-tiba di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada Khamis di mana beliau mengemukakan permohonan untuk intervensi, yang merujuk kepada prosedur pihak luar yang bukan pihak asal, menyertai kes.
Pejabat Peguam Besar tidak membangkitkan sebarang bantahan terhadap permohonan intervensi itu, tetapi peguam Persatuan Undang-undang Sabah, Dr David Fung, Jeyan T.M. Marimuttu dan Janice Junie Lim, membantah.
SLS berhujah bahawa Kerajaan Negeri Sabah tidak mempunyai hak untuk didengar kerana rayuan itu hanya berkaitan permohonan kebenaran.
Fuad berhujah bahawa intervensi itu perlu untuk mengelakkan risiko hak Kerajaan Negeri Sabah untuk mencabar peruntukan pemberian khas 40 peratus terpadam tanpa didengari.
Tambahnya, tiada keperluan untuk SLS membuat semakan kehakiman kerana Kerajaan Negeri Sabah sedang bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan untuk mengkaji semula perkara mengenai pemberian khas Sabah.
Mahkamah Rayuan menangguhkan keputusannya mengenai rayuan Kerajaan Persekutuan terhadap kebenaran yang diberikan kepada SLS.






























