Lampu isyarat unta dipasang di Gunung Mingsha di wilayah Gansu, China.
BEIJING: Sepanjang bulan ini, aktiviti menunggang unta menjadi sangat popular di lokasi Gunung Mingsha dan Crescent Spring di Gurun Kumtag China hingga pihak berkuasa tempatan memasang lampu isyarat unik berbentuk haiwan itu untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas.
Melihat lampu isyarat yang berfungsi bukan sesuatu yang aneh di beberapa kawasan beting pasir Gunung Mingsha dan Taman Semula Jadi Tasik Crescent, di barat laut Wilayah Gansu di China.
Menurut Utusan Malaysia, Oddity Central melaporkan, semasa cuti tahunan awal Mei, beribu-ribu orang berpusu-pusu ke tempat-tempat pelancongan semula jadi itu dan terlibat dalam pelbagai aktiviti terutamanya menunggang unta.
Tahun lalu, terdapat kira-kira 2,400 unta tersedia untuk ditunggang serta puluhan ribu pelancong setiap hari di dua kawasan berkenaan hingga mengakibatkan masalah kesesakan lalu lintas yang serius.
Gunung Mingsha sahaja menerima lebih 10,000 pelawat, dan bilangannya meningkat kepada 20,000 pada cuti musim bunga.
Akibat masalah itu, pihak berkuasa di Gurun Kumtag di Wilayah Gansu memilih memasang lampu isyarat unta pintar itu bagi mengurangkan masalah tersebut.
Dijangka lebih 240 juta rakyat China akan melancong ke seluruh negara semasa musim cuti tahun ini, dengan kebanyakan mereka berpusu-pusu ke lokasi popular tersebut.