Masiung Banah
KOTA KINABALU: Kerajaan digesa mengharamkan penjualan kimia berbahaya seperti asid sulfurik pekat yang bebas dijual di pasaran tempatan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah mencadangkan Kerajaan Negeri dan Persekutuan perlu segera mengharamkan penjualan asid berbahaya itu di pasaran tempatan.
“Pihak berwajib perlu melihat perkara ini dari sudut negatif dan lesen penjualan asid kimia itu wajar dikaji semula.
“Kita bimbang tindakan kejam menyimbah asid akan menjadi trend oleh sesiapa sahaja yang berniat zalim untuk menyerang mangsa,” katanya dalam kenyatan hari ini.
Masiung berkata, kebelakangan ini bahan kimia itu sering disalah guna untuk dijadikan senjata mengancam nyawa manusia kerana ia begitu mudah diperolehi tanpa kawalan yang ketat.
Isu asid mendapat perhatian selepas pemain bola sepak kebangsaan, Faisal Halim menjadi mangsa disimbah asid di sebuah pusat beli belah di Petaling Jaya, awal minggu lalu.
Awal bulan ini, seorang penuntut wanita Institut Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) parah selepas disimbah asid oleh rakannya dalam kejadian di Kota Bharu, Kelantan.
Sebelum itu, seorang anggota polis melecur di seluruh badan selepas disimbah asid oleh individu tidak dikenali di Kuantan, Pahang.
Masiung berkata, penjualan asid berbahaya itu wajar diharamkan di negara ini kerana kelak ia akan menjadi ikutan sesiapa sahaja untuk menyerang mangsa termasuk pemimpin.
“Penjualan bahan kimia pekat yang tidak dikawal dikhuatiri boleh mendatangkan mudarat berpanjangan kepada orang awam untuk tujuan permusuhan,” jelasnya.
Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) itu berkata, penjualan bahan kimia berbahaya seperti sulfurik, hidroklorik dan nitric pekat begitu mudah dibeli di kedai perkakasan logam atau hardware.
Kata Masiung, asid pekat itu juga mudah diperolehi menerusi platform e-dagang dengan harga serendah RM50 ke bawah.