Ruslin Jusoh menunjukkan perbandingan passport asli dan palsu pada sidang akhbar sindiket pemalsuan dokumen Op ‘Ofu bhai’ di Putrajaya.
PUTRAJAYA: Seorang warga Bangladesh dikenali sebagai ‘Ofu Bhai’ dikesan menjadi dalang utama kepada sindiket pemalsuan dokumen menggunakan taktik mengubah suai maklumat dan tarikh luput pada pasport warga asing.
Lelaki berusia 38 tahun itu berjaya ditahan Jabatan Imigresen (JIM) hasil risikan Bahagian Perisikan dan Operasi Khas selama tiga minggu dalam satu serbuan ke atas sebuah premis kediamaan di Kajang, Selangor.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Pengarah JIM, Datuk Ruslin Jusoh berkata, kegiatan sindiket itu dipercayai beroperasi selama dua tahun dan mengaut keuntungan dengan menawarkan perkhidmatan menyediakan pasport kepada warganegara asing yang tidak memiliki dokumen perjalanan.
“Sindiket ini menggunakan pasport tulen yang tamat tempoh dengan meminda maklumat pada biodata serta keseluruhan dalaman pasport dengan harga RM1,000 hingga RM1,500 untuk setiap naskhah pasport.
“Sindiket ini juga menggunakan maklumat palsu pada pasport untuk mendapatkan kelulusan Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing (Fomema) dengan harga RM600 hingga RM1,000 untuk setiap dokumen,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Ruslin berkata, dalam serbuan itu juga, pihaknya menahan seorang wanita warganegara Filipina berusia lingkungan 40 tahun dipercayai orang kanan kepada dalang utama.
Jelas beliau, hasil semakan awal mendapati lelaki berkenaan tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas sah untuk berada di negara ini, manakala, wanita berkenaan tinggal lebih masa.
Beliau berkata, pada serbuan berkenaan pihaknya berjaya merampas satu set komputer, sejumlah 211 pasport terdiri daripada 199 pasport Bangladesh, India (empat) Filipina (tiga), Myanmar (tiga) dan Indonesia (dua).
“Selain itu, kita turut merampas 31 helaian muka depan biodata pasport, 144 keping dokumen Fomema, pelbagai peralatan untuk membuar dokumen palsu dan wang tunai sebanyak RM16,000.
“Pihak kami masih memburu rangkaian yang berkait dengan sindiket berkenaan,” katanya.
Ruslin berkata, kedua-dua suspek direman selama 14 hari di Depot Tahanan Imigresen Putrajaya dan kes disiasat di bawah Seksyen 55D, Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 12(1)(a) Akta Pasport 1966.































