Liew menyampaikan sumbangan kepada seorang daripada ketua keluarga mangsa kebakaran itu.
TAWAU: Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS), Brig Jen (B) Tan Sri Liew Yun Fah menyumbangkan sebanyak RM4,000 kepada empat ketua keluarga mangsa kebakaran di Kampung Sentosa Blok 5, di sini, hari ini.
Menurut Liew, sumbangan tersebut membabitkan wang tunai RM1,000 bagi setiap ketua pemilik rumah yang musnah sepenuhnya dalam kejadian jam 8.30 pagi, Khamis.
“Untuk permulaan, saya menerusi PHRS menyumbangkan sebanyak RM1,000 kepada setiap ketua rumah yang terbakar dalam usaha meringankan beban mereka.
“Saya berharap ia dapat membantu mereka membeli barang keperluan sementara menunggu bantuan daripada kerajaan,” katanya.
Menurut Liew, sebagai parti komponen GRS yang bertapak di Tawau dan Kalabakan, menjadi keutamaan bagi PHRS untuk menyantuni rakyat di sini selari dengan saranan Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor.
“Selepas ini, saya akan cuba membantu mendapatkan bantuan daripada agensi kerajaan berkaitan untuk diberikan kepada mangsa kebakaran khususnya berkaitan kebajikan,” katanya.
Terdahulu, Liew turut meninjau lokasi kebakaran yang telah memusnahkan empat buah rumah, kerosakan sebuah kenderaan, membabitkan 21 orang mangsa.
Tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan berlaku.
Naib Presiden PHRS, Datuk Supardianshah Suyuti juga telah menyampaikan bantuan bakul makanan dan minuman kepada mangsa kebakaran.
































