KOTA KINABALU: Sebanyak 97 tan sampah telah berjaya dilupuskan menerusi Program KK Cleanup Day 2.0: Pulau Gaya dan Pulau Sepanggar anjuran Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) yang telah berlangsung selama tiga hari, bermula 6 hingga 8 Mei 2024.
Pada hari pertama program, sebanyak 32 tan sampah telah berjaya dilupuskan, diikuti dengan 24 tan sampah pada hari kedua dan 41 tan sampah pada hari ketiga. Ini menjadikan jumlah keseluruhan sampah yang telah dilupuskan sebanyak 97 tan dalam tempoh tiga hari, iaitu satu jumlah yang melebihi jangkaan dan sasaran yang ditetapkan oleh DBKK.

DBKK dalam satu kenyataan memaklumkan, program “KK Cleanup Day 2.0: Pulau Gaya dan Pulau Sepanggar” ini diadakan untuk mewujudkan kesedaran sosial di kalangan penduduk dan pengusaha agar mereka mengambil tanggungjawab yang lebih serius dalam menjaga kebersihan persekitaran Bandaraya Kota Kinabalu.
“Menerusi program ini juga, pihak DBKK amat bersuka cita untuk menerima kerjasama dan penglibatan positif daripada penduduk Kampung Lok Urai, Kampung Kasuapan, Kampung Lobong, Kampung Pulau Gaya Asli dan Kampung Torong Logong di Pulau Gaya, serta Kampung Pulau Sepanggar di Pulau Sepanggar.

“Sehubungan dengan itu, melihat kepada kejayaan pelaksanaan program pada kali ini, dapat dilihat bagaimana usaha bersama boleh memberi impak yang besar. Ianya turut menunjukkan komitmen dan kecekalan penduduk kampung dalam menjaga kebersihan.
“Syabas dan tahniah diucapkan kepada semua penduduk Pulau Gaya dan Pulau Sepanggar. Semoga usaha ini menjadi inspirasi kepada komuniti lain untuk menjaga alam sekitar dengan penuh tanggungjawab,” kata kenyataan itu.
































