KOTA BHARU: Malaysia dijangka akan terus berdepan dengan cuaca panas sehingga Julai depan susulan peralihan Monsun Timur Laut dan fenomena El Nino yang sedang melanda dunia ketika ini.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, situasi menyaksikan beberapa kawasan terutama Kelantan, Perlis dan Kedah akan berdepan dengan cuaca panas tersebut.
“Kalau ikut trend biasa, fasa ini akan mula beralih tidak lama lagi dan mungkin hujan akan mula turun dalam tempoh sebulan atau dua bulan lagi.
“Bagaimanapun, keadaan ini mungkin akan berubah dan kita akan melihat laporan terkini Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) dari masa ke semasa,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Program Kampung Angkat Madani di Kampung Aril, Melor di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Nik Nazmi memberitahu, pihaknya juga akan bekerjasama dengan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) untuk memantau paras air dan akan melaksanakan Operasi Pembenihan Awan (OPA) sekiranya perlu.
Katanya, setakat ini, pihaknya ada menerima permintaan daripada kerajaan negeri Kelantan dan syarikat air untuk melaksanakan pembenihan awan.
“Keputusan untuk pembenihan awan ini tidak boleh dilakukan sesuka hati dan memerlukan panduan serta nasihat daripada MetMalaysia serta kerjasama daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).
“Malah, kita juga perlu melihat kepada keadaan yang sesuai dari segi awan selain memenuhi syarat lain yang ditetapkan sebelum pembenihan awan dilakukan” ujarnya.
Dalam pada itu, Nik Nazmi berkata, orang ramai juga dinasihatkan supaya mengikuti saranan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan terutamanya membabitkan aktiviti di luar yang terdedah dengan cuaca panas.





























