Dr. Dzulkefly Ahmad
HULU SELANGOR: Kerajaan meminta pengeluar vaksin Covid-19, AstraZeneca untuk memberikan penjelasan terperinci berkenaan dengan kesan sampingan akibat daripada penerimaan suntikan tersebut yang diakui menyebabkan sindrom Thrombosis with Thrombocytopenia Syndrome (TTS)
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, AstraZeneca perlu bersikap telus dan menjelaskan bukan sahaja kepada rakyat di negara ini tetapi penerimanya di seluruh dunia.
Menurutnya, penjelasan tersebut perlu untuk mengelakkan kebimbangan dalam kalangan penerimanya walaupun kadar risiko yang dilaporkan itu berada pada tahap 0.88 daripada sejuta dos yang diberikan.
“Semua tahu ada kesan sampingan, dan itupun kita sedar dan kita dalam kementerian pun ada garis panduan dan kita pantau apa pun simptom yang ada, kalau ada kaitan langsung kita tunggu macam mana…
“Kita boleh minta wakil AstraZeneca untuk membuat penjelasan yang lebih teliti dan saya lebih mahu telus kepada semua rakyat dan media, mereka mesti bertanggungjawab, tiada apa yang hendak kita sembunyikan begitu juga mereka,” katanya ketika ditemui pemberita, hari ini.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan AstraZeneca mengakui buat kali pertama dalam dokumen mahkamah bahawa vaksin Covidnya boleh menyebabkan kesan sampingan yang jarang berlaku.
Gergasi farmaseutikal itu didakwa bahawa vaksinnya yang dibangunkan bersama Universiti Oxford menyebabkan kematian dan kecederaan serius dalam berpuluh-puluh kes.
Mereka mengakui dalam dokumen undang-undang yang dikemukakan kepada Mahkamah Tinggi pada Februari lalu bahawa vaksin Covid-19 keluarannya boleh dalam kes yang sangat jarang berlaku menyebabkan sindrom TTS.
Dalam pada itu, Dzulkefly dalam lawatannya di Kampung Orang Asli Tun Abdul Razak memaklumkan, kerajaan akan memantau serta menangani perkara tersebut berdasarkan pembuktian simptom.
Malah, beliau menjelaskan kementeriannya juga menyedari kesan sampingan terhadap pengambilan vaksin Covid-19 berkenaan dan mempunyai garis panduan klinikal untuk merawat individu yang menerima kesan tersebut.
“Sebenarnya kita di sini pun merakamkan atau registry of adverse effect of following immunization itu adalah clinical guideline yang kita kena lakukan, jangan cuba untuk menutup atau tidak telus, pengakuan ada di sana isu apa yang dikatakan sebagai vaccine induce TTS.
“Maknanya ada kes TTS, plak dalam darah dan dalam masa sama berlaku kekurangan platelet count, itu sahaja yang mereka akui dan kita tunggulah apa sebenar-benarnya sebab daripada itu.
“Saya bukan hendak pertahankan AstraZeneca. Tetapi apa yang dikatakan 0.9 orang bukan seorang, dalam satu juta dos yang diberikan. Bayangkan kebarangkalian ia berlaku, bukan satu dalam 1,000 tetapi 0.9 dalam sejuta,” jelasnya.
































