PETALING JAYA : Seorang lelaki sanggup menggunakan nombor plat kenderaan lain di motosikal hanya kerana tidak mahu ditarik pihak bank menjerat diri selepas dia ditahan polis, di Bukit Permai dekat sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7 pagi itu, lelaki berusia 21 tahun itu ditahan anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya semasa sekatan jalan raya.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata,pemeriksaan pada penunggang terbabit didapati mempunyai lesen memandu yang sah.
“Namun, pemeriksaan lanjut pada nombor pendaftaran belakang motosikal jenis Yamaha Y15 itu didapati telah didaftarkan di atas sebuah kenderaan lain.
“Soal siasat awal tujuan lelaki itu menukarkan serta mempamerkan nombor pendaftaran kenderaan lain pada motosikalnya adalah kerana ingin mengelak dari kenderaannya itu ditarik oleh pihak bank disebabkan kegagalannya menjelaskan bayaran ansuran bulanan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, lelaki terbabit serta motosikalnya telah dibawa ke Balai Trafik IPD Ampang Jaya untuk siasatan di bawah Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Jelasnya, sekiranya didapati bersalah, boleh didenda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak melebihi RM20,000 atau boleh dipenjara selama tempoh tidak kurang setahun dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.
































