Christina Liew
KOTA KINABALU: Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS), melalui Lembaga Pelancongan Sabah (STB) telah mensasarkan pelancongan berasaskan komuniti (CoBT) Sabah untuk mencapai 80 peratus pematuhan Standard Asean menjelang 2030.
Menteri, Datuk Christina Liew berkata, akreditasi ini akan meletakkan CoBT di Sabah di pentas antarabangsa dan seterusnya menarik lebih ramai pelancong untuk menikmati alam semulajadi dan menyokong produk tempatan.
“Selain itu, dalam aspek promosi, STB dalam proses untuk menerbitkan risalah digital setiap daerah.
“Setakat ini, sembilan risalah “Panduan” telah diterbitkan iaitu bagi daerah Kiulu, Tenom, Kudat, Kinabatangan, Membakut, Telupid, Sipitang, Kuala Penyu dan Kota Belud.
“Penerbitan risalah secara digital ini bukan sahaja untuk mempromosikan produk pelancongan kawasan tersebut bahkan secara langsung menjadi nilai tambah bagi membantu pengusaha untuk memasarkan produk-produk mereka,” katanya ketika menjawab pertanyaan Datuk Raime Unggi pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.
Raime bertanya apakah langkah pihak Kementerian untuk membantu pengusaha- pengusaha tempatan mempromosi lokasi tumpuan para pengunjung untuk merancakkan industri ini sehingga ke pelosok pedalaman Sabah.
Liew berkata, penyertaan pengusaha dalam acara-acara pelancongan dalam dan luar negara juga merupakan antara kaedah dalam memastikan keterlihatan produk-produk serta pakej-pakej pelancongan yang disediakan.
“Pesta Pelancongan Berasaskan Komuniti Sabah (Sabah Community Based Tourism Fair) yang bermula pada 2017 bertujuan untuk meningkatkan pelancongan luar bandar dan mempromosikan pengalaman budaya yang pelbagai.
“Untuk tahun 2024, pameran ini akan dibawa ke Putrajaya pada skala yang lebih besar bakal diadakan di IOI Mall Putrajaya pada 18 – 20 Oktober 2024.”
Liew berkata, sesi perniagaan ke perniagaan (B2B) turut dilaksanakan di antara pengusaha CoBT di bawah naungan Persekutuan Persatuan Pelancongan Luar Bandar Sabah (FeRTAS) dan ejen-ejen pelancongan Sabah.
“Ia adalah peluang bagi pengendali CoBT untuk berinteraksi dengan ejen pelancongan bagi mempakejkan produk dan memasarkan produk mereka dengan berkesan. Sesi ini bagi membolehkan ejen pelancongan mendapat kefahaman menyeluruh tentang kepelbagaian aktiviti yang ditawarkan oleh setiap pengendali pelancongan masyarakat luar bandar.
“Oleh yang demikian, Kementerian menyarankan agar setiap daerah mengaktifkan Majlis Tindakan Pelancongan Daerah dan Persatuan Pelancongan daerah agar platform ini menjadi jambatan perhubungan di antara Kerajaan dan juga para pengusaha pelancongan daerah agar kerjasama yang rapat dapat dibina untuk memastikan pembangunan pelancongan yang mampan dan holistik,” ujarnya.
Liew berkata, pelancongan luar bandar merupakan aset yang bernilai bagi sektor pelancongan negeri ini.
Jelasnya, hampir keseluruhan produk dan kawasan pelancongan yang menjadi tarikan pelancong di negeri ini terletak di kawasan luar bandar.
“Justeru itu, Kementerian saya melalui STB sentiasa komited untuk mempromosi serta memasarkan produk serta kawasan pelancongan luar bandar sama ada melalui platform media sosial mahupun dengan penyertaan acara-acara pelancongan dalam dan luar negara.
“Terdapat pelbagai segmen pelancongan yang telah dipromosi dan dipakejkan agar para pelancong boleh merasai pengalaman seterusnya menjadikan negeri ini sebagai destinasi pilihan ekopelancongan yang premium.
“Antara yang menjadi agenda keutamaan pembangunan pelancongan luar bandar bagi Kerajaan Negeri adalah dengan menyokong dan mempromosikan aktiviti CoBT.
“Pelbagai usaha dan inisiatif telah dilaksanakan oleh STB sejak aktiviti ini diperkenalkan untuk membantu pengusaha/komuniti setempat sama ada dari segi keperluan infra dan fasiliti mahupun latihan.
“Usaha ini juga adalah untuk memastikan keselamatan dan keselesaan pelawat serta menyediakan perkhidmatan pelancongan yang bermutu dan berdaya saing.”


































