JOHOR BAHRU: Seorang inspektor polis direman selama enam hari bermula kelmarin bagi membantu siasatan dakwaan melakukan amang seksual terhadap seorang remaja perempuan berusia 16 tahun.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar berkata, suspek yang berusia 29 tahun dan berkhidmat di Ibu pejabat Polis Daerah Pontian ditahan di sekitar Bandar Seri Alam, di sini Selasa.
Menurutnya, kejadian tersebut didakwa berlaku pada pukul 6 petang kelmarin di kawasan Johor Jaya, di sini.
“Polis turut merampas sebuah telefon bimbit milik suspek yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes berkenaan.
“Pegawai itu kini ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan boleh dikenakan hukuman sebat, jika sabit kesalahan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini kelmarin.
Tegas Kumar, pihaknya komited memerangi masalah salah laku, integriti dan jenayah dalam kalangan pegawai dan anggota unit beruniform itu demi meningkatkan keyakinan masyarakat.
“Semua pihak yang didapati bersalah melakukan perbuatan jenayah akan dikenakan tindakan tegas tanpa kompromi berlandaskan prinsip sama rata di bawah undang-undang Perlembagaan Persekutuan.
“Dalam masa sama, orang ramai diminta supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan kes berkenaan,” katanya sambil meminta masyarakat melaporkan sebarang perbuatan jenayah di kawasan mereka dengan menghubungi talian Hotline Polis Johor, iaitu 019-2792095 atau 07-2212999.


































