Salah sebuah helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) terhempas ketika melakukan raptai sempena Hari Terbuka Armada TLDM yang dijadualkan berlangsung dari 3 hingga 5 Mei ini di Lumut, Perak, semalam. – Gambar Media Sosial
LUMUT: Dua helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) terhempas semasa raptai perbarisan Hari TLDM ke-90 di Pangkalan TLDM Lumut, Perak pukul 9.32 pagi, semalam.
Nahas itu menyebabkan 10 pegawai dan anggota TLDM termasuk tiga wanita dari Skuadron 502 yang berpangkalan di sini dan Skuadron 503 berpangkalan di Kota Kinabalu, Sabah terkorban.
Dua pesawat itu iaitu model Fennec dan HOM AW139 yang berlepas dari Padang Sitiawan kira-kira pukul 9.03 pagi dipercayai bertembung ketika melakukan latihan penerbangan sebelum terhempas.
Pesawat Fennec terhempas di kolam renang Kompleks Sukan TLDM Lumut manakala AW139 di Stadium TLDM Lumut.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin berkata, helikopter jenis HOM AW139 yang terlibat dalam nahas adalah pertama kali digunakan untuk acara lintas hormat pasukan itu.
Beliau memberitahu, helikopter yang berpangkalan di Kota Kinabalu itu mula digunakan TLDM sejak 2021.
Menurutnya, helikopter tersebut diterbangkan khas dari Kota Kinabalu untuk menyertai raptai lintas hormat sempena sambutan Hari TLDM ke-90 yang akan diadakan di sini.
Jelasnya, sebuah lagi helikopter yang terlibat dalam nahas tersebut iaitu Fennec dari sini beroperasi sejak 2003 dan sudah tiga kali menyertai acara lintas hormat sempena hari ulang tahun TLDM.
“Ketika kejadian, helikopter HOM AW139 dinaiki tujuh pegawai dan anggota manakala Fennec dinaiki tiga pegawai dan anggota,” katanya dalam sidang akhbar di Stadium TLDM Lumut,
Mohamed Khaled menambah, ketika kejadian, sebanyak tujuh helikopter terlibat dalam raptai, iaitu melibatkan empat helikopter Fennec, dua HOM dan sebuah Super Lynx sejak kira-kira empat hari lalu.
Jelasnya, helikopter HOM terhempas di kawasan Stadium Lumut manakala helikopter Fennec terhempas di kawasan kolam renang yang terletak bersebelahan stadium tersebut.
Beliau berkata, semua mangsa berusia dalam lingkungan 26 hingga 41 tahun.
Menurutnya, siasatan awal mendapati semua 10 mangsa maut di lokasi kejadian di kawasan kolam renang dan Stadium TLDM di Kompleks Sukan TLDM.
Beliau memaklumkan, seorang anggota tentera yang berada di kawasan kolam renang turut mengalami kecederaan ringan akibat terkena serpihan badan helikopter tersebut.
Jelasnya lagi, semua keluarga mangsa dibawa ke sini termasuk yang berada di Kota Kinabalu yang diterbangkan menggunakan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Katanya, sebaik selesai bedah siasat di Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh, jenazah akan diserahkan kepada waris dan keluarga untuk disemadikan di kampung halaman masing-masing.
Mohamed Khaled menambah, lembaga siasatan kejadian ditubuhkan TLDM dibantu TUDM dan pasukan Ketua Pengarah Teknikal Kelayakan Udara (DGTA).
Beliau memberitahu, pihaknya akan mengumumkan hasil siasatan kejadian itu apabila tiba masanya dan tidak mahu membuat andaian awal kejadian.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan, semua acara sambutan Hari TLDM ke-90 yang dijadualkan diadakan dalam beberapa hari lagi dibatalkan.
Katanya, keputusan itu dibuat bagi menghormati ahli keluarga dan waris 10 pegawai dan anggota TLDM yang terkorban.
Menurut Mohamed Khaled, ini termasuk majlis perbarisan sempena ulang tahun tersebut di Pangkalan TLDM di sini pada minggu ini serta Hari Terbuka Armada yang dijadualkan pada 3 hingga 5 Mei ini.
“Kita akan menggantikan acara itu dengan majlis tahlil dan doa selamat yang dijangka diadakan Jumaat ini dengan kehadiran Kepten Yang Dipertua TLDM, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah,” ujarnya.




























