Oo Saw Kee (berbaju putih) dijatuhi hukuman penjara selama 10 tahun selain didenda sebanyak RM6,000 selepas mengaku bersalah menyimbah air panas ke arah seorang OKU Sindrome Down di sebuah lif pangsapuri di Bayan Lepas, Pulau Pinang.
BALIK PULAU : Seorang pembantu jualan dipenjara 10 tahun dan didenda RM6,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas didapati bersalah menyimbah air panas ke arah seorang lelaki Sindrome Down ketika berada dalam lif di sebuah pangsapuri di Bayan Lepas, Jumaat lalu.
Menurut Utusan Malaysia, tertuduh, Oo Saw Kee, 39, membuat pengakuan tersebut ketika pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Ahzal Fariz Ahmad Khairuddin kelmarin.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan parah ke atas A.Solairaj, 33, dengan menyimbah air panas ke arah mangsa di dalam lif sebuah pangsapuri di Bayan Lepas, kira-kira pukul 9.24 pagi, pada 19 April lalu.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau dikenakan sebatan.
Mengikut fakta kes, semasa mangsa masuk ke dalam lif pada hari kejadian, mangsa ternampak suspek di dalam lif dan suspek yang ketika itu sedang memegang botol air telah menyimbah air panas ke arah mangsa.
Mangsa yang merupakan lelaki orang kurang upaya (OKU) Sindrome Down dan mengalami masalah pembelajaran itu kemudian telah menjerit akibat kesakitan sebelum bergegas pulang ke rumah.
Dia kemudian dikejarkan ke hospital untuk menerima rawatan lanjut dan doktor mengesahkan bahawa mangsa melecur sebanyak enam peratus di bahagian bahu kanan, leher dan belakang badan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Noodin Ismail manakala tertuduh diwakili peguam, Edric Loo.
Ketika prosiding, Mohd. Noodin meminta agar mahkamah mengenakan hukuman yang berat kepada tertuduh memandangkan perbuatannya menyimbah air kepada mangsa adalah satu perbuatan yang serius.
“Jadi, masyarakat perlu mengambil iktibar agar masyarakat boleh tinggal bersama-sama dan menghormati hak OKU,” katanya yang memaklumkan, kes itu juga telah mendapat perhatian umum kerana video kejadian itu telah tular dengan lebih daripada 10,000 tontonan.
Edric bagaimanapun memohon supaya mahkamah mengenakan hukuman yang ringan terhadap tertuduh memandangkan dia telah mengaku salah dan menjimatkan masa mahkamah selain telah insaf atas segala perbuatannya.
Dalam pada itu, Ahzal Fariz ketika sesi penghakiman berkata, setelah meneliti fakta kes, mahkamah mendapati bahawa perbuatan tertuduh adalah satu kesalahan yang kejam serta tidak berperikemanusiaan.
“Mahkamah berkongsi sentimen dengan masyarakat bahawa ia satu perbuatan yang kejam. Tambahan pula, tidak ada provokasi daripada mangsa dan dalam hal ini, mahkamah mengambil kira kepentingan awam melebihi tertuduh.
“Tujuan hukuman ini bukan sahaja untuk memberi peringatan kepada tertuduh tetapi juga masyarakat agar tidak mengulangi perbuatan ini kepada mana-mana OKU,” katanya yang memberitahu, jika tertuduh gagal membayar denda tersebut, dia boleh dikenakan hukuman tambahan iaitu penjara untuk tempoh 12 bulan lagi.




























