Anggota bomba cuba memujuk pelajar perempuan berusia 11 tahun yang memanjat bumbung asrama sebuah pusat tahfiz di Taman Sentosa, Kampar. – Ihsan Bomba
KAMPAR: Tindakan seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun memanjat bumbung asrama sebuah pusat tahfiz di Taman Sentosa di sini bukan sebagai percubaan untuk membunuh diri sebaliknya dia tidak ingin meneruskan pengajian di institusi itu.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohamad Nazri Daud berkata, hasil siasatan mendapati pelajar itu melakukan perbuatan sedemikian sebagai tanda protes tidak ingin belajar lagi di pusat tahfiz tersebut.
“Polis telah melawat tempat kejadian dan hasil siasatan mendapati tiada unsur-unsur cubaan untuk bunuh diri.
“Pelajar berkenaan melakukan perkara demikian kerana tidak mahu belajar di pusat tahfiz. Kanak-kanak perempuan ini juga merupakan pelajar bermasalah kerana ketagihan gajet,” katanya di sini kelmarin.
Terdahulu, bomba menerima panggilan kecemasan pada pukul 8.35 pagi kelmarin yang memaklumkan tindakan pelajar perempuan itu yang memanjat bumbung asrama sebuah pusat tahfiz di sini.
Pihak bomba dan polis berjaya memujuk pelajar itu untuk turun dengan selamat.
Dalam pada itu, Mohamad Nazri berkata, ibu bapa pelajar berkenaan memaklumkan itu merupakan kejadian ketiga dengan situasi sama.
“Ibu bapa telah hadir dan membawa pulang pelajar berkenaan serta ingin menamatkan persekolahannya,” katanya.


























