Hajiji bersalaman dengan Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam (kiri) sambil diperhatikan oleh Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Ir. Shahelmey Yahya sebelum persidangan DUN Sabah bermula hari ini.
KOTA KINABALU: Kerajaan negeri tidak meminggirkan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang diwakili pembangkang dalam aspek pembangunan.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor berkata, peruntukan untuk kepentingan rakyat disalurkan secara terus kepada pejabat-pejabat daerah untuk pelaksanaan projek-projek pembangunan.
Namun, sekiranya wakil-wakil rakyat pembangkang ingin memohon peruntukan kepada kerajaan maka, kerajaan tiada masalah untuk mempertimbangkan sekiranya ia untuk kepentingan rakyat.
“Jadi, saya minta jika ada keperluan wakil-wakil rakyat pembangkang boleh memohon (peruntukan) secara terus kepada saya,” katanya semasa menjawab soalan tambahan Datuk Darell Leiking (Warisan-Moyog) mengenai peruntukan kepada kawasan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang.
Mengenai cadangan untuk memanggil wakil ADUN pembangkang dalam Jawatankuasa Pembangunan Daerah, Hajiji berkata, perkara itu akan diperhalusi dan beliau akan melihat sama ada keperluan itu atau tidak namun, beliau terbuka dengan hal tersebut.
Berkenaan soalan tambahan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal (Warisan-Senallang) tentang peruntukan pembangunan daripada kerajaan Persekutuan, Hajiji yang juga ADUN Sulaman itu berkata, wakil kerajaan negeri juga tidak tahu mengenai peruntukan Persekutuan.
Namun, kerajaan negeri akan maklumkan kepada pejabat kemajuan negeri supaya dapat melaporkan dan memaklumkan kepada setiap wakil rakyat dimana peruntukan itu disalurkan.
“Warisan dalam kerajaan perpaduan dan saya juga dalam kerajaan perpaduan namun, ada sesetengah kawasan termasuk kawasan saya sendiri, tidak dimaklumkan. Saya ingat ini kelemahan di pihak pengurusan pejabat kemajuan negeri dan pejabat daerah dan kita ambil ini sebagai satu teguran untuk diperkemaskan,” katanya.
Malah katanya, beliau akan meminta Setiausaha Kerajaan Negeri (SKN) untuk memberi maklum kepada semua pegawai daerah supaya semua peruntukan yang disalurkan kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri mesti dimaklumkan kepada wakil-wakil rakyat sama ada pembangkang mahupun kerajaan.
Terdahulu, Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar, Dato’ Sri Ruddy Awah berkata, Kementerian telah diberi peruntukan khas sebanyak RM188.2 juta untuk ADUN-ADUN Sabah dalam kerajaan.
Ini adalah merupakan keputusan dasar Kerajaan Negeri yang telah ditetapkan, katanya ketika menjawab pertanyaan Darell yang bertanya berapakah jumlah peruntukkan tahunan yang disediakan dan disalurkan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah dalam kerajaan dan menyokong serta penjelasan mengapa peruntukkan yang sama tidak diberikan kepada ADUN-ADUN pembangkang.




























