Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor bersalaman dengan Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam (kiri) sambil diperhatikan oleh Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Ir. Shahelmey Yahya sebelum persidangan DUN Sabah bermula hari ini.
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri sentiasa memastikan keseimbangan di antara bilangan keseluruhan Native Title/Field Register (NT/FR) dan tanah pajakan (leases) dari segi pemberimilikan tanah demi mencapai objektif Kerajaan Negeri untuk membasmi kemiskinan dan meningkatkan pembangunan negeri.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, permohonan tanah yang diluluskan oleh Kerajaan Negeri sama ada syarat Country Lease (CL) ataupun NT adalah tertakluk kepada pengukuran di lapangan sebelum geran draf NT atau CL dapat disediakan oleh Jabatan Tanah dan Ukur (JTU).
Beliau menjelaskan, sebanyak 4,339 geran draf dengan keluasan 8,787.41 hektar untuk permohonan tanah bersyarat NT/FR telah disediakan sepanjang tahun 2023.
Manakala, sebanyak 406 geran draf dengan keluasan 5,199.53 hektar untuk permohonan tanah bersyarat pajakan (leases) disediakan sepanjang tahun 2023.
“Geran NT/FR hanya boleh diberi milik kepada anak negeri Sabah sahaja, manakala CL boleh diberi milik kepada syarikat, badan berkanun dan juga individu sama ada berasal atau bukan berasal dari Sabah.
“Kerajaan Negeri sentiasa memberi keutamaan kepada pemberimilikan tanah anak negeri dengan tujuan untuk membasmi kemiskinan dan juga meningkatkan taraf hidup mereka,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Datuk Raime Unggi (ADUN Dilantik) yang bertanya jumlah keluasan tanah dan bilangan geran NT dan CL yang telah diluluskan oleh pihak Kerajaan untuk para pemohon yang terdiri daripada rakyat Sabah.
Nizam berkata, berdasarkan statistik JTU, jumlah geran tanah berdaftar NT/FR setakat 31 Mac 2024 adalah sebanyak 230,540 ataupun 54% daripada jumlah keseluruhan geran tanah yang berdaftar di Sabah.
Manakala, jumlah tanah pajakan (leases) berdaftar setakat 31 Mac 2024 ialah sebanyak 200,087 ataupun 46% daripada jumlah keseluruhan geran tanah berdaftar.
“Tanah pajakan (leases) adalah penting dalam pembangunan ekonomi negeri Sabah iaitu dari segi kutipan hasil negeri, pembangunan, pelaburan dan juga peluang pekerjaan,” katanya.


































