KOTA KINABALU: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga perwira-perwira negara yang terkorban dalam nahas helikopter di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut, Perak.
Sebelum memulakan persidangan DUN hari ini, Timbalan Speaker DUN, Datuk Al-Hambra Tun Juhar berkata, Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan kerajaan Sabah merakamkan sekalung takziah kepada keluarga-keluarga mangsa yang terlibat.
“DUN Sabah ingin mengucapkan takziah kepada perwira-perwira negara yang telah terkorban dalam nahas helikopter di Pangkalan TLDM di Lumut semalam.
“Sekalung takziah diucapkan kepada keluarga-keluarga mangsa daripada ADUN Sabah dan kerajaan negeri Sabah,” katanya dalam persidangan DUN Sabah hari ini.
DUN Sabah bertafakur selama seminit untuk berdoa dan menyedekahkan Al-Fatihah kepada perwira-perwira negara yang telah terkorban.
Semalam, sebuah Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) dan sebuah helikopter FENNEC milik TLDM terhempas semasa raptai Perbarisan Hari TLDM ke-90 di Pangkalan TLDM Lumut pada pukul 9.32 pagi.
Nahas itu menyebabkan 10 pegawai dan anggota TLDM termasuk tiga wanita dari Skuadron 502 yang berpangkalan di sini dan Skuadron 503 berpangkalan di Kota Kinabalu, Sabah terkorban.
Pesawat Fennec terhempas di kolam renang Kompleks Sukan TLDM Lumut manakala AW139 di Stadium TLDM Lumut.


































