Christina Liew
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri melalui Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar telah berjaya melaksanakan dua projek pembangunan pelancongan di Sandakan dengan kos bernilai RM500,000.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Christina Liew berkata, pelaksanaan dua projek pembangunan pelancongan di Sandakan itu dijalankan sepanjang tempoh 3 tahun ini.
“Menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), sepanjang tempoh 3 tahun ini, Kementerian saya telah melaksanakan 2 projek pembangunan pelancongan di bawah biayaan Kerajaan Negeri dengan kos bernilai RM500,000 di Sandakan.
“Manakala di bawah peruntukan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) pula, sehingga tahun 2023, sebanyak 10 projek telah dilaksanakan dengan jumlah keseluruhan bernilai RM2.89 Juta di daerah Sandakan,” katanya semasa menjawab pertanyaan Calvin Chong Ket Kiun (Elopura) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.
Chong bertanya apakah dan berapakah penambahbaikan pusat pelancongan di Sandakan yang berjaya atau sedang dilakukan oleh Kementerian.
Liew berkata, jjumlah peruntukan yang diluluskan bagi kesemua projek-projek tersebut adalah meliputi kerja-kerja pembaikan dan penaiktarafan fizikal prasarana serta kemudahan asas pelancongan sedia ada.
“Ia dibuat demi memastikan keselesaan, keselamatan, kefungsian, dan keceriaan kepada pelancong,” jelasnya.




























