Limus Jury
KOTA KINABALU: Kementerian Kerja Raya (KKR) melalui Jabatan Perkhidmatan Pembetungan Sabah (JPPS) menerima 1,465 aduan berkenaan masalah pembentungan sepanjang tahun 2023.
Pembantu Menteri Kerja Raya, Datuk Limus Jury berkata, daripada jumlah tersebut, 99% aduan telahpun diselesaikan.
“Bagi tahun 2024 pula setakat bulan Mac, KKR melalui JPPS telah menerima sebanyak 431 aduan, di mana 88 aduan masih aktif,” katanya.
Beliau berkata, bagi daerah Sandakan pada tahun 2023, sebanyak 756 aduan telah diterima, dan masih ada enam aduan masih aktif yang akan dilaksanakan melalui Program S55 (Vot Operasi dan Selenggara) Work Submission Form (WSF) melalui proses sebut harga pada tahun ini.
Bagi tahun 2024, katanya, Sandakan merekodkan sebanyak 210 aduan setakat bulan Mac dan 43 aduan masih aktif di mana kerja kerja untuk menyelesaikan aduan ini akan dilaksanakan melalui Program S55 melalui proses sebut harga.
Limus yang juga ADUN Kuala Penyu menjawab pertanyaan Datuk Hiew Vun Zin (Karamunting) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.
Hiew bertanya apakah tindakan Kementerian untuk memastikan kakitangan JPPS di Sandakan bertindak ke atas aduan rakyat dengan lebih pantas.
Limus berkata, KKR melalui JPPS telah menetapkan supaya tindakan segera diambil terhadap setiap aduan yang diterima seterusnya membolehkan kepuasan pelanggan terjamin dengan menyediakan prosedur kerja untuk maklumbalas dan penyelesaian yang pantas, cekap dan kualiti kerja yang terbaik.
Tambahnya, aduan awam yang diterima akan diproses dan diberi maklum balas (first contact) melalui siasatan tapak untuk mengetahui lebih lanjut faktor-faktor berlakunya aduan dalam masa 24 jam dan aduan tersebut akan dilaksanakan dalam tempoh 1-7 hari bekerja tertakluk kepada tahap dan jenis kerosakan sistem pembetungan.
“Bagi aduan-aduan yang melibatkan kerosakan besar seperti collapsed manhole atau collapsed sewer line, aduan akan dilaksanakan melalui Program S55 dan juga Program D33 (Vot Pembangunan).
“Kerja kerja di bawah program S55 akan dilaksanakan melalui WSF yang akan mengambil kira masa sekitar 3 bulan melalui proses sebut harga.
“Manakala, bagi kerja-kerja di bawah program D33, ia bersifat penyelesaian jangka masa panjang kerana ia melibatkan kerja-kerja naiktaraf dan juga pemuliharaan aset sedia ada milik JPPS,” jelas beliau.
Limus berkata, selain itu, KKR melalui JPPS telah membelanjakan peruntukan di bawah program khusus bagi menyediakan peralatan, mesin dan kelengkapan asas yang diperlukan oleh kakitangan JPPS di semua daerah termasuk Sandakan.
“Di antara peralatan dan mesin yang telah disediakan adalah “Desludging Tanker” berkapasiti 5,000 litre pada tahun 2022, “High Pressure Water Jetting Tanker” berkapasiti 3,000 litre dan Lori Kren berkapasiti 1.5 tan pada tahun 2023, dan beberapa kelengkapan kejuruteraan lain seperti “sewer rod” dan pam mudah alih yang dibekalkan secara berterusan daripada tahun 2021 sehingga kini.
“Jabatan ini akan terus merancang untuk menyediakan peralatan dan kelengkapan bagi memastikan kakitangan jabatan dapat meningkatkan dan memberikan perkhidmatan yang pantas dan efisien,” katanya.
Limus turut memaklumkan bahawa pemerhatian dan dapatan kementerian menunjukkan kes aduan di daerah Sandakan adalah aduan-aduan yang berulang.
Aduan-aduan berulang ini katanya, berlaku disebabkan oleh kurangnya kesedaran awam berkenaan penggunaan dan kepentingan sistem pembetungan.
“Sebagai contoh, kes-kes kesumbatan di dalam “inspection chamber”, lurang dan paip pembetungan adalah berpunca daripada pembuangan sampah sarap, sisa lemak, minyak dan gris ke dalam sistem pembetungan.
“Bagi menangani isu ini, program untuk meningkatkan pendidikan dan kesedaran awam berkenaan kepentingan sistem pembetungan sedang giat dilaksanakan oleh JPPS dengan kolaborasi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT),” jelas beliau.


























