Fairuz Renddan
KOTA KINABALU: Seramai 4,425 orang belia terlibat sebagai usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) di Sabah.
Pembantu Menteri Belia dan Sukan, Datuk Fairuz Renddan berkata, ini berdasarkan sumber yang diperolehi daripada Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan,iaitu 4,101 orang daripada Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR) dan 324 orang lagi di bawah program agensi Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan.
Walau bagaimanapun, katanya, Kementeriannya akan terus mendapatkan data daripada usahawan-usahawan belia yang tidak berdaftar dan agensi-agensi yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dengan industri dan keusahawanan.
“Kementerian saya tidak mempunyai peranan secara langsung terhadap Industri Kecil dan Sederhana (IKS). Walau bagaimanapun, Kementerian saya terlibat membantu belia untuk memulakan dan mengembangkan perniagaan melalui program Skim Jaya Usahawan Belia (SYABAS).
“Setakat ini seramai 2,893 orang belia telah mendapat bantuan ini. Jenis- jenis perniagaan yang dijalankan adalah seperti pertanian, pelancongam, peruncitan dan sebagainya,” katanya ketika menjawab pertanyaan Datuk Seri Salleh Said Keruak (Usukan) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.
Salleh bertanya berapakah jumlah belia yang terlibat sebagai usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dan apakah langkah-langkah dan rancangan Kerajaan untuk membantu mereka ini.
Menurut beliau, langkah-langkah dan rancangan Kerajaan bagi membantu usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) termasuk:
1. Memberikan geran keusahawanan melalui program Skim Jaya Usahawan Belia Sabah (SYABAS).
2. Menganjurkan program khusus untuk golongan muda dalam bidang keusahawanan agro iaitu melalui Geran Agropreneur Muda (GAM) yang berasaskan semua aktiviti di sepanjang rantaian nilai sektor pertanian seperti pengeluaran tanaman, ternakan dan perikanan serta industri asas tani.
3. Memberikan bantuan mesin dan peralatan bagi tujuan pemprosesan makanan, pembungkusan dan pelabelan (PROPEL) melalui Program Geran Pemadanan Change Upgrade Product (CUP) dan bantuan SME-UP.
4. Menyediakan latihan kemahiran pengeluaran produk hiliran dan keusahawanan secara berterusan di 28 daerah seluruh Negeri Sabah.
5. Melibatkan lebih ramai belia usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) untuk ikut serta secara aktif dalam aktiviti promosi dan jualan produk semasa hari ekspo/karnival seperti Karnival Belia Negeri, Hari Sukan Negara, Pesta Kaamatan dan karnival-karnival lain.
6. Menawarkan kursus dan latihan kemahiran secara percuma.
7. Menyediakan platform kepada usahawan belia untuk mempromosikan hasil produk hiliran perikanan di mana-mana ekspo atau acara pameran yang melibatkan Jabatan.
8. Menjalinkan kolaborasi dengan pasaraya tempatan iaitu BATARAS dan Kedai Mesra Petronas bagi pemasaran produk usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS).
9. Mewujudkan pusat pemasaran produk berasaskan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) iaitu IKSMART.


























