PETALING JAYA: Lakonan mantap Sofia Jane dalam filem Maryam Pagi ke Malam diiktiraf menerusi kemenangannya sebagai pelakon wanita terbaik pada Festival Filem Asia ke-21 yang berlangsung di Rom, Itali, dekat sini.
Menurut Utusan Malaysia, Sofia, yang berkongsi berita kemenangan itu di Instagramnya, meluahkan rasa syukur dan ucapan tahniah kepada seluruh tenaga produksi yang menjayakan filem berkenaan.
“Tahniah kepada seluruh tenaga produksi Maryam Pagi ke Malam menerusi kemenangan pada Festival Filem Asia di Rom, Itali.
“Omar Abdullah dan Roslan Madun yang memainkan watak ayah dan pengasuh Maryam dalam filem ini memainkan peranan yang sangat penting bagi perkembangan watak Maryam.
“Saya bersyukur dan berterima kasih,” tulisnya.
Filem berdurasi 90 minit arahan Badrul Hisham itu menerusi penganjuran yang sama turut merangkul anugerah Filem Paling Original.
Maryam Pagi ke Malam mengisahkan tentang seorang pemiliki galeri berusia 50 tahun yang berhasrat untuk mengahwini seorang lelaki muda berasal dari Sierra Leone.
Filem tersebut turut dibintangi Susan Lankaster, Vanidah Imran, Azman Hassan, Pekin Ibrahim dan ramai lagi.