Dr. Mohd. Arifin (kanan) bersama Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ellron Angin pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.
KOTA KINABALU: Projek Pembinaan SMK Trus Madi dijangkla akan siap sepenuhnya pada bulan Jun 2024 selepas menghadapi beberapa kekangan sebelum ini, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Mohd. Arifin Mohd. Arif.
“Untuk makluman, Projek Pembinaan SMK Trus Madi telah mencapai kemajuan fizikal sebanyak 96.56%. Projek ini dijangka akan dapat disiapkan sepenuhnya pada Jun 2024 berdasarkan unjuran penyiapan pemasangan bekalan air terawat ke tapak sekolah.
“Kelewatan projek ini adalah disebabkan oleh isu prestasi kerja kontraktor serta masalah penyambungan bekalan air terawat ke tapak sekolah.
“Kementerian sentiasa membuat pemantauan rapi bagi memastikan projek ini dapat disiapkan dan diserahkan untuk pengoperasian dengan segera,” kata beliau semasa menjawab pertanyaan Datuk Annuar Ayub (Liawan) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini hari ini.
Beliau turut menjawab soalan daripada Datuk Jaffari Waliam (ADUN Dilantik) dan Mohd. Tamin @ Tamin Zainal (Pantai Manis).
Anwar bertanya apakah sebab operasi SMK Trusmadi tergendala sehingga saat ini, manakala Jaffari bertanya sejauh mana penglibatan Jabatan Pembangunan Sumber Manusia (JPSM) di bawah kementerian dalam membantu memperkasakan bidang TVET dan
Mohd. Tamin meminta penjelasan mengenai rancangan untuk program TVET di JPSM Papar dan jika boleh dilaksanakan, apakah kelayakan bagi calon-calon program ini.
Dr. Mohd. Arifin berkata, JPSM telah merangka kertas kerja penubuhan Majlis TVET Negeri Sabah sebagai inisiatif baharu yang akan memperkasakan bidang TVET.
Katanya, Majlis TVET Negeri Sabah ini juga merupakan kesinambungan daripada penubuhan Majlis TVET Madani yang akan dilancarkan di peringkat persekutuan tidak lama lagi.
“Majlis ini berperanan dalam menentukan dasar TVET Sabah dan juga akan memastikan modal insan yang dilahirkan bukan sahaja memenuhi keperluan industri malah berupaya mencipta lebih banyak peluang pekerjaan di Sabah.
“Selanjutnya usaha ini juga menyambut pengumuman MOSTI migrasi pekerjaan sedia ada ke pekerjaan berciri STI dan STEM menjelang 2030,” kata beliau.
Beliau menambah, JPSM memiliki sebuah Institut Latihan, Teknik dan Perdagangan (ILTP) yang terletak di daerah Papar, di mana institut ini adalah sebuah institusi TVET yang telah dipilih sebagai hab TVET di bawah bidang kimpalan.
Sebagai salah satu hab TVET di negara, katanya, ILTP juga telah mengadakan bengkel bersama Universiti Kuala Lumpur (UniKL) untuk mendapatkan panduan dalam pengurusan hab, usaha ini akan mampu meningkatkan kapasiti ILTP sebagai hab TVET kimpalan terbaik dalam negara.
Menurut Dr. Mohd. Arifin, ILTP Papar telah dan sedang melaksanakan dua jenis program berasaskan TVET yang terbahagi kepada empat Pusat Pengajian.
“Pusat Pengajian Elektrik merangkumi; Penjaga Jentera Elektrik (AO); dan Pemasangan dan Penyelenggaraan Elektrik.
“Pusat Pengajian Mekanikal merangkumi; Teknologi Kimpalan 6G – Kerjasama Petronas; Proses Kimpalan Arka Kepingan Logam; Mekanik Traktor dan Jentera Berat; Pembaikpulihan Kenderaan Perdagangan (Diesel); Perkhidmatan Pembaikan Kenderaan Ringan (Petrol); dan Pemasangan dan Penyelenggaraan Satu Fasa Penyamanan Udara, Pengudaraan dan Pemanasan HVAC.
“Pusat Pengajian Pengurusan Pentadbiran dan Teknologi Maklumat merangkumi; Pentadbiran Sistem Maklumat; Setiausaha Korporat Eksekutif; dan Operasi Sistem Komputer.
“Pusat Pengajian WELLNESS dan Kosmetologi pula merangkumi: Dandanan Rambut; Perkhidmatan Kecantikan, Perkhidmatan Terapi Kecantikan dan Perkhidmatan Estetik; Program Modular Dandanan Rambut; dan Program Modular Jurukecantikan,” katanya.
Berkenaan hal kelayakan, Dr Haji Mohd. Arifin menjelaskna bahawa ianya terbuka kepada semua belia dan beliawanis yang berusia 17 tahun hingga 30 tahun dan sekurang-kurangnya telah menamatkan tingkatan 5.
“JPSM juga dalam perancangan untuk mengadakan program baharu untuk memenuhi keperluan industri seperti program Electric Vehicle(EV), Penjaga Elektrik A1, B4 dan bidang mengetuk dan mengecat badan kenderaan mengikut piawaian IR4.0,” jelas beliau.




























