SHAH ALAM: Seorang pengurus sebuah syarikat pengawal keselamatan didenda RM3,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, kelmarin erana menganggu tugas dan memaki polis, pada empat tahun lalu.
Menurut Utusan Malaysia, tertuduh, Paramveer Singh Bullaveer Singh membuat pengakuan demikian di hadapan Majistret Farah Rosnan selepas pertuduhan dibacakan ke atasnya.
Lelaki berusia 38 tahun itu berdepan dua pertuduhan menghalang seorang penjawat awam daripada menjalankan kewajibannya yang sah di sisi undang-undang dengan cara enggan memberi pengenalan diri dan memaki hamun polis.
Selain itu, dia juga dituduh menggunakan perkataan-perkataan kurang sopan kepada seorang pegawai polis dengan perkataan ‘fucking police’, ‘fucking you’, ‘pukimak polis’, ‘you all semua pukimak’ dan ‘lancau you orang’.
Kesemua kesalahan tersebut dilakukan dekat Pejabat Pertanyaan Balai Polis Bukit Jelutong di sini pada 2 September 2020 kira-kira pukul 5 petang.
Justeru, dia dituduh di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali.
Tertuduh juga berdepan hukuman denda maksimum RM500, penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali di bawah Seksyen 90 Akta Polis 1967.
Peguam mewakili tertuduh, Harvindar Singh memohon mahkamah menjatuhkan hukuman dengan mengambil kira keadaan anak guamnya yang ketika itu didakwa sedang mabuk dan tertekan kerana bercerai dengan isterinya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Saidah Fasihah Che Yusoff kemudian memohon mahkamah mengenakan hukuman yang setimpal kerana tertuduh mengganggu dan melakukan provokasi terhadap penjawat awam selain memandang rendah kumpulan itu.
Farah Rosnan kemudian menetapkan hukuman denda RM2,800 dan RM200 bagi kedua-dua pertuduhan atau tiga dan satu bulan penjara jika gagal membayarnya.
Paramveer Singh dilapor membayar denda tersebut sejurus selepas prosiding.


































