Armizan Mohd. Ali
PUTRAJAYA: Kerajaan bersetuju menambah bilangan syarikat pembekal minyak kepada tiga syarikat di dalam sistem MySubsidi Diesel berkuat kuasa serta merta.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, keputusan tersebut dibuat setelah mengambil kira pandangan dan maklum balas daripada syarikat pembekal minyak dan industri pengangkutan.
“Kalau sebelum ini syarikat-syarikat sembilan jenis pengangkutan barangan dihadkan untuk mempunyai pilihan dua syarikat pembekal minyak.
“Berdasarkan rayuan tersebut kita akan beri pilihan tambahan iaitu memilih tiga daripada lima syarikat pembekal minyak,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Terdahulu beliau mengadakan sesi libat urus bersama pemain industri pengangkutan kenderaan darat barangan bagi persediaan pelaksanaan penggunaan ‘fleet card’ di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0 di sini hari ini.
Sebelum ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memperluaskan projek rintis SKDS 2.0 kepada sembilan jenis kenderaan sektor pengangkutan darat barangan mulai 6 Mac lalu.
Kenderaan itu membabitkan lori kargo am, lori minuman botol, lori ais, lori luton, lori tangki, lori tangki air, van panel dan van ‘window’.
Menurut Armizan, menerusi sesi libat urus berkenaan, KPDN turut menggesa syarikat-syarikat berkenaan agar menyegerakan permohonan ‘fleet card’ dengan syarikat pembekal minyak yang dipilih selewat-lewatnya 30 April ini.
Ini bagi memastikan mereka dapat menikmati subsidi yang disediakan apabila kerajaan melaksanakan penyasaran subsidi diesel kelak.




























