Anwar Ibrahim
MELAKA: Rakyat perlu membuat perubahan sikap dan minda dengan mengabaikan hal-hal bersifat ‘titik bengik’ atau remeh, sebaliknya memusatkan perhatian kepada lapangan sains, matematik termasuk jurusan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Menurut Utusan Malaysia, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, selaras dengan keperluan pelabur yang berminat melabur di Malaysia dalam bidang teknologi maklumat, digital, kejuruteraan dan semikonduktor, ia dijangka melahirkan kira-kira 30,000 peluang pekerjaan sebagai jurutera.
Kata Anwar, justeru tumpuan berkaitan peluang itu harus diberikan perhatian sewajarnya oleh ibu bapa dan generasi muda termasuk anak-anak Melayu.
“Maka tumpuan kepada ibu bapa termasuk anak-anak Melayu mestilah di lapangan sains, matematik dan ini termasuk TVET yang diusahakan secara gigih oleh Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (Timbalan Perdana Menteri) untuk meningkatkan keupayaan mereka.
“Harus kita pusatkan perhatian supaya kita tidak ketinggalan, jangan kita terus dalam perbahasan hal-hal yang remeh yang tidak berkesudahan.
“Saya benar-benar mengharapkan ada perubahan sikap dan minda, kalau tidak kita akan ketinggalan kerana kita hanya bertempur dalam hal-hal yang titik bengik, berlarutan bergaduh dalam hal-hal yang kecil, meninggalkan perkara pokok,” katanya.
Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2024 peringkat negeri di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini, malam tadi.
Dalam pada itu, Anwar turut memuji kestabilan politik Melaka bersama dasar ekonominya yang jelas sehingga berjaya menarik pelaburan asing antaranya dari Jerman.
“Saya ucap tahniah kepada Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh kerana dengan beberapa kunjungan saya terakhir di Jerman, selain bicara soal perkembangan dan pelaburan, Melaka dipilih sebagai pusat pelaburan dan destinasi pelaburan dunia yang menggalakkan.
“Ini kerana politiknya stabil dasar ekonominya jelas, dasar-dasar seperti transisi digital, peralihan tenaga (energy transition). Pelan perindustrian baharu ini semua membantu pelabur melihat kepada kekuatan kita,” jelasnya.


































