Phoong Jin Zhe
KOTA KINABALU: Syarikat Kumpulan Kibing yang telah mengeluarkan dan mengeksport kaca solar pertamanya made in Sabah, Malaysia berjumlah 672 tan ke Kemboja dengan anggaran nilai produk berjumlah RM1.43 juta pada 21 April lalu, bakal mengembangkan pelaburannya di negeri ini.
Ia melibatkan anggaran nilai pelaburan tambahan berjumlah RM700 juta sekaligus mewujudkan sebanyak 600 peluang pekerjaan.
Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan, Datuk Phoong Jin Zhe berkata, jumlah pengeluaran kaca solar syarikat Kumpulan Kibing akan meningkat sehingga 876,000 tan setahun bermula pada bulan Mei 2024 dengan anggaran nilai produk yang dihasilkan berjumlah RM1.86 bilion apabila kilang ini beroperasi sepenuhnya kelak.
“Hal ini sekaligus akan meningkatkan sumbangan sektor pembuatan kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Sabah di samping nilai eksport negeri ini.
“Saya juga ingin memaklumkan Dewan yang mulia ini bahawa Kementerian saya sedang menyelaras cadangan pelaburan Syarikat Kumpulan Kibing yang akan meningkatkan kapasiti penghasilan kaca solar kilangnya di KKIP melalui penambahan third production line.
“Pengembangan pelaburan ini akan meningkatkan lagi pelaburan syarikat tersebut dengan anggaran nilai pelaburan tambahan berjumlah RM700 juta sekaligus mewujudkan sebanyak 600 peluang pekerjaan,” katanya ketika menggulung untuk Kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.
Mengulas cadangan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal (Senallang) agar lebih banyak industri hiliran terutamanya industri yang melibatkan sumber bahan mentah atau mineral di Sabah, Phoong berkata, Kementeriannya akan berusaha untuk menarik lebih banyak pelaburan dalam industri hiliran agar sumber bahan mentah atau mineral di negeri ini dapat lebih ditambah nilai seterusnya membangunkan ekosistem industri sedia ada yang lengkap.
Mengenai insentif kepada para pelabur yang melabur di Sabah pula, beliau berkata, pelbagai galakan atau insentif diberikan kepada pelabur-pelabur yang melabur di negeri ini oleh Kerajaan Persekutuan melalui Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) berdasarkan kriteria kelayakan yang ditetapkan.
“Galakan utama yang boleh diberikan kepada pelabur yang berkelayakan antaranya adalah pengecualian cukai pendapatan, elaun cukai pelaburan, geran dan pengecualian duti import serta cukai jualan bagi bahan mentah, mesin, peralatan yang berkaitan.
“Kerajaan Negeri telah memberi insentif dengan menawarkan kos sewaan tanah yang kompetitif di taman-taman perindustrian kepada para pelabur yang merupakan antara daya tarikan utama selain daripada tawaran-tawaran insentif yang diberikan oleh Kerajaan Persekutuan.”
Menurut Phoong, Kementeriannya sentiasa bekerjasama rapat dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Pihak Berkuasa Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA) dalam menggalakkan pelaburan ke Sabah.
Kepada pertanyaan Datuk Darell Leiking (Moyog), .beliau berkata, pada masa ini Kementerian belum mempunyai perincian maklumat berhubung jumlah pelaburan yang direalisasikan di Sabah daripada 78% yang dimaksudkan.
“Pada masa yang sama, belum ada mana-mana pelabur yang telah menarik diri dari melabur di Sabah dan beralih ke Sarawak setakat ini berdasarkan data yang terdapat di Kementerian ini dan MIDA.”
Mengenai Datuk Jonnybone Kurum (Telupid) yang mencadangkan agar pihak Kementerian meneroka sumber atau industri baharu di daerah Telupid, Phoong berkata, Kementerian akan berusaha untuk mengenalpasti industri bersesuaian yang boleh dibangunkan di daerah ini terutamanya dengan mengoptimumkan ketersediaan bahan mentah di daerah tersebut seterusnya mempromosikan potensi pelaburan industri tersebut.
Menjawab pertanyaan Jamil Hamzah (Bugaya), beliau berkata, Kerajaan Negeri sememangnya berhasrat untuk membangunkan sektor pembuatan di seluruh daerah di Sabah dan DUN Bugaya adalah tidak terkecuali.
“Berdasarkan penelitian awal Kementerian saya, Industri yang bersesuaian untuk dibangunkan di kawasan tersebut adalah industri hiliran berasaskan hasil laut dan kelapa sawit.
“Kementerian saya juga akan terus berusaha menarik pelaburan ke kawasan tersebut melalui program-program promosi pelaburan yang akan dilaksanakan dan sentiasa komited dalam menyelaras serta memudahcara sekiranya terdapat cadangan pelaburan di kawasan tersebut.”
Kepada pertanyaan Datuk Raimie Unggi (ADUN Dilantik) mengenai setakat manakah kerjasama pihak Kerajaan Negeri dengan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia (MITI) melalui Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Phoong menjelaskan, Kementerian sentiasa bekerjasama rapat dengan pihak MITI dan MIDA untuk memudahcara dan menyelaras cadangan pelaburan di negeri ini.
“MIDA dan juga Invest Sabah Berhad adalah
merupakan salah satu ahli dalam State Manufacturing Investment Taskforce yang ditubuhkan oleh Kementerian saya bagi menyelaras cadangan pelaburan di Sabah.
“Kerjasama strategik di antara Kementerian saya dan MIDA ini bukan sahaja merangkumi dalam aspek penyelarasan pelaburan malah ianya juga membantu mempromosikan Sabah sebagai sebuah destinasi pelaburan melalui cawangan pejabat MIDA di luar negara,” katanya.
Berhubung persoalan berkaitan setakat manakah inisiatif Domestic Investment Coordination Platform (DICP) bagi membantu syarikat tempatan khususnya PKS di Sabah dalam aspek sumber kewangan, Menteri berkata, Platform Koordinasi Pelaburan Domestik (DICP) yang telah ditubuhkan pada tahun 2018 di bawah kelolaan MIDA bertanggungjawab untuk membantu syarikat-syarikat tempatan, khususnya Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) untuk merapatkan jurang kewangan, teknologi, R&D dan akses pasaran.
Kata Phoong, usaha ini adalah melalui kerjasama strategik dengan pihak berkuasa tempatan, agensi-agensi kerajaan, pusat-pusat penyelidikan, penyedia teknologi, institusi kewangan serta firma penasihat pelaburan dan ekuiti.
“Matlamat utama adalah untuk membantu PMKS mengenal pasti ekosistem pelaburan yang diperlukan bagi pertambahan nilai dan peningkatan daya saing perniagaan mereka. Inisiatif ini terbuka kepada semua pemain industri diseluruh negara termasuk Negeri Sabah dan pihak MIDA sedang aktif mempromosi DICP kepada syarikat PMKS di negeri ini.
“Pihak MIDA melalui kerjasama rapat dengan Kementerian saya dan agensi lain yang berkaitan akan mengadakan program promosi pelaburan nasional termasuk DICP di Negeri Sabah dalam masa terdekat.”
Pembangunan keusahawanan
Phoong berkata, Kementerian melalui Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR) dan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO) sememangnya komited dalam pembangunan usahawan di negeri Sabah.
Perkara ini dijelaskan dalam Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya dan diterjemahkan melalui Misi Kementerian iaitu menggalakkan Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS) sebagai industri sokongan utama dan pemangkin kepada pembangunan industri pembuatan, tambahnya.
“Pelbagai program dan inisiatif telah dirancang untuk dilaksanakan pada tahun ini dan ianya adalah bagi menyokong pembangunan usahawan serta mewujudkan industri yang berdaya tahan dan mapan.
“Program-program yang dirancang ini akan dapat mengoptimumkan prestasi para usahawan serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.
“Salah satu inisiatif yang telah dilaksanakan adalah penubuhan Jawatankuasa Penyelarasan Pembangunan Keusahawanan Negeri Sabah (JPPKNS) yang bertujuan untuk menyelaras program-program pembangunan keusahawanan dan membincangkan isu-isu semasa yang berkaitan dengan keusahawanan,” jelasnya.
Beliau juga berterima kasih kepada Datuk Ewon Benedick, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi merangkap ADUN Kadamaian atas komitmen yang diberikan bagi mempengerusikan bersama Mesyuarat JPPKNS.
Katanya, kerjasama seumpama ini menunjukkan bahawa adanya sinergi di antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan dalam memperkasa pembangunan keusahawanan di Sabah.
“Saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih di atas keprihatinan Kerajaan Negeri kepada Usahawan IKS di negeri Sabah kerana terus memberi peruntukan sebanyak RM15 juta bagi meneruskan Program Bantuan SME-UP. Dengan peruntukan ini, Kementerian melalui DIDR akan meneruskan usaha untuk meningkatkan kapasiti dan produktiviti usahawan IKS dengan memberi bantuan Persijilan MeSTI dan Halal, bantuan mesin dan peralatan, peningkatan kualiti pembungkusan dan pendigitalan perniagaan.
“Dalam tempoh 2017 hingga 2023, sebanyak 5,138 usahawan dari seluruh Sabah telah mendapat manfaat melalui program ini.”
Kementerian juga akan meneruskan penganjuran Karnival Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS) pada tahun ini di daerah Luayang, Tawau, Keningau dan Beaufort.
Hasil daripada penganjuran Karnival PMKS pada tahun lepas telah menghasilkan jualan kaunter sebanyak RM61,000 dan potensi jualan melalui business matching sebanyak RM9.4 juta.
Ini jelas menunjukkan bahawa produk-produk usahawan IKS tempatan mampu bersaing dan mendapat sambutan yang memberansangkan, kata Phoong.
Menyedari keberkesanan program pemasaran produk IKS Sabah ke pasaraya tempatan dan memberikan impak positif kepada usahawan IKS Sabah, kerjasama program pemasaran bersama Pasaraya Bataras dan Petronas Dagangan Berhad akan diteruskan pada tahun ini.
“Hasil jualan kolaborasi bersama Pasaraya Bataras pada tahun 2023 adalah sebanyak RM3.64 juta dan bersama Kedai Mesra Petronas adalah sebanyak RM2.46 juta.
“Pada tahun ini, Kementerian saya juga akan bekerjasama dengan Kojasa Mart di bawah seliaan Qhazanah Sdn. Bhd. bagi membuka peluang kepada Usahawan IKS memasarkan produk mereka di semua Outlet Kojasa Mart. Program ini bukan saja mampu membantu produk IKS Sabah menembusi pasaran tempatan namun ia juga membantu meningkatkan ekonomi serta menjana pendapatan usahawan.”
Selaras dengan hala tuju baharu di bawah Kerajaan Perpaduan pada hari ini, Phoong memaklumkan, Kementerian akan mempertingkatkan lagi jaringan kerjasama bersama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dalam melaksanakan program-program yang lebih berimpak tinggi serta bersesuaian dengan kehendak Usahawan dan keperluan semasa dalam pembangunan keusahawanan di negeri Sabah.
“Oleh itu, Kementerian akan bekerjasama dengan Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SME Corp) iaitu salah satu agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) untuk menubuhkan SME Hub.
“Tujuan penubuhan SME Hub ini adalah untuk menyalurkan pelbagai maklumat berkaitan bantuan geran, program yang dianjurkan, latihan yang disediakan termasuk inisiatif dan khidmat nasihat yang diberikan oleh Kerajaan Negeri dan Persekutuan.
“Selain SME Corp. Kementerian saya juga akan bekerjasama dengan Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS) untuk melaksanakan Program Pemerkasaan Usahawan Sabah (PUSH). Objektif program ini adalah memupuk ketersediaan awal Usahawan IKS ke arah mentransformasikan perniagaan dan berkembang menjadi francaisor yang berdaftar di Malaysia.
“Program ini akan melahirkan 40 Usahawan IKS yang berpotensi untuk dikembangkan melalui sistem perniagaan francais dan program ini akan berjalan selama 8 bulan,” ujarnya.


























