Victor Sanjos (kiri) semasa melawat anggota Maritim Malaysia yang cedera akibat insiden berbalas tembakan di perairan Kunak, Sabah, baru-baru ini.
PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyifatkan kes samun dan rompakan di perairan Sabah sebagai kes terpencil.
Menurut Utusan Malaysia, Komander Kawasan Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Datuk Victor Sanjos berkata,, hanya beberapa kes yang berlaku dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini.
“Kejadian berlaku ketika musim perayaan, jalan laut sibuk dan ramai penduduk kawasn sekitar membawa wang,” katanya ketika dihubungi semalam.
Keadaan itu katanya, menyebabkan suspek menggunakan peluang itu untuk melakukan jenayah tersebut.
Mengenai kes tembak dua anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) sehingga mengakibatkan seorang daripada mereka buta mata kiri dalam kejadian di perairan Kunak, Sabah pada 7 April lalu, beliau berkata, pihak polis sedang mempergiatkan operasi bagi mengesan tiga suspek yang terlibat.
Difahamkan, ketiga-tiga suspek itu dipercayai telah melarikan diri ke luar dari perairan negara.
Menurut Victor, pihaknya bekerjasama dengan agensi keselamatan yang lain termasuk Maritim Malaysia dalam usaha mengesan suspek.
Katanya, siasatan mendapati ketiga-tiga mereka terlibat dalam jenayah selain seorang daripadanya turut dalam senarai dikehendaki.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain sebelum ini mengesahkan polis telah mengenal pasti seorang daripada tiga suspek yang dipercayai warga asing.


































