Shahelmey Yahya
KOTA KINABALU: Kementerian Kerja Raya, melalui Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) telah mengambil beberapa tindakan dan langkah kecemasan bagi mengurangkan masalah bekalan air semasa musim kemarau baru-baru ini.
Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Kerja Raya, Datuk Ir. Shahelmey Yahya berkata, Kementerian sememangnya menyedari akan kerumitan yang dialami rakyat akibat musim kemarau baru-baru ini.
Beliau menjelaskan, penyelesaian jangka masa pendek termasuklah pembinaan empangan sementara (temporary weir) dan mendalamkan muka sauk melalui kerja-kerja pengorekan bagi memastikan sumber air mentah adalah mencukupi untuk melancarkan semula proses rawatan air.
“Pada masa yang sama, JANS terus bekerjasama dengan Jawatankuasa Pengurusan Bencana setiap daerah untuk melaksanakan pengagihan air bersih bagi memenuhi keperluan,” katanya.
Sehingga kini, Shahelmey berkata, pengagihan air melibatkan 67,308 Ketua Isi Rumah (KIR) di 18 daerah terkesan.
Selain itu, beliau berkata, JANS juga bekerjasama dengan pihak Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk melaksanakan pembenihan awan di kawasan yang strategik seperti kawasan tadahan air.
“Operasi Pembenihan Awan yang dilaksanakan ini adalah berdasarkan ramalan kesesuaian atmosfera awan yang menunjukkan tanda-tanda positif hujan boleh terjadi sekiranya pembenihan awan dilaksanakan,” kata beliau.
Menurutnya, pembenihan awan telah dilaksanakan di Tawau, Lahad Datu, dan Papar, di mana MET Malaysia telah memaklumkan bahawa pada 28 dan 29 Mac 2024, operasi tersebut telah menunjukkan tahap keberhasilan sebanyak 67% dan hujan telah direkod pada dua hari operasi tersebut dilaksanakan.
Manakala, bagi hari ketiga iaitu pada 30 Mac 2024, katanya, tiada hujan telah direkodkan semasa operasi pembenihan awan dilakukan.
Beliau berkata demikian semasa menjawab pertanyaan Dr. Aliakbar Gulasan (ADUN Dilantik), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal (Senallang), Datuk Frankie Poon Ming Fung (Tanjong Papat) dan Azhar Matussin (Darau) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini hari ini.
Dr. Aliakbar bertanya apakah tindakan Kerajaan bagi mengatasi masalah bekalan air yang semakin berkurangan menjelang musim kemarau ini, manakala Mohd. Shafie bertanya apakah langkah kecemasan pihak kerajaan untuk menangani masalah kekurangan bekalan air di Sabah yang menyebabkan kehidupan rakyat semakin getir akibat empangan-empangan semakin kering, Poon bertanya apakah langkah Kerajaan untuk meningkatkan perkhidmatan pembekalan air pada musim kemarau yang telah berlaku dan juga akan berlaku pada masa yang akan datang dan Azhar pula bertanya apakah langkah-langkah yang telah diambil oleh kerajaan bagi membantu komuniti yang terjejas oleh kemarau.
Shahelmey yang juga ADUN Tanjung Keramat berkata, JANS juga telah mengambil inisiatif khusus untuk mencari sumber air mentah bawah tanah dan diproses melalui sistem Purifier Water Package Plant (PWPP) di kawasan yang terjejas teruk seperti di Pulau Sebatik.
“Antara inisiatif-inisiatif lain yang dilaksanakan adalah catuan air di kawasan-kawasan yang terkesan dan menyediakan depoh air serta tangki statik bagi penyediaan bekalan air terawat kepada pengguna di lokasi-lokasi terpilih,” ujar beliau.
Bagi penyelesaian jangka panjang, antara cadangan dan pelaksanaan adalah projek penambahan kapasiti takungan air untuk memastikan keterjaminan bekalan air mentah seperti pembinaan Off River Storage (ORS) dan empangan.
Shahelmey menggariskan bahawa antara projek-projek yang dalam pelaksanaan adalah seperti Projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) Kawasan Semporna Sabah – Pembinaan ORS berkapasiti 90JL yang diunjurkan akan siap menjelang hujung tahun ini.
Ia termasuk Skim Bekalan Air Tawau Fasa III di mana Rekabentuk dan Pembinaan Empangan Air Tawau berkapasiti 30 MCM yang diunjurkan siap menjelang pertengahan 2026.
Dalam pada itu katanya, projek dalam perancangan adalah seperti Sistem Bekalan Air Kota Kinabalu Fasa III – Pembinaan empangan berkapasiti – 130 MCM; Skim Bekalan Air Ulu Padas (SBAUP) – Pembinaan ORS; dan Penambahan Kapasiti Loji Rawatan Air (LRA) Segaliud, Sandakan, Sabah bertambah dari 120 JL ke 125 JL.
Sementara itu, beliau turut menjawab soalan tambahan yang diutarakan Mohd. Shafie yang bertanyakan adakah RM300 juta yang diumumkan oleh Kerajaan Persekutuan sudah digunakan untuk mengatasi masalah bekalan air di Sabah dalam jangka masa pendek ini,
Shahelmey menjelaskan bahawa secara ringkasnya, peruntukan RM300 juta dari Persekutuan itu telah diluluskan, namun ianya belum digunakan sepenuhnya disebabkan oleh ada lagi proses-proses pengurusan dalam mengurus inisiatif-inisiatif yang telah dipersetujui.
“Malah dalam mesyuarat kerja yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri pada Sabtu lepas (20 April 2024), Perdana Menteri sudah bersetuju bahawa selepas sahaja makmal pengurusan nilai yang telah diadakan pada bulan Mac lepas, proses perolehan boleh diteruskan tanpa menanti perjanjian di antara Kerajaan Pesrsekutuan dan Kerajaan Negeri ditandatangani berkaitan dengan bantuan pinjaman untuk menyelesaikan inisiatif jangka masa pendek menyelesaikan masalah air di Sabah,” katanya.
Kepada soalan tambahan daripada ADUN Sukau Datuk Jafry Ariffin yang bertanyakan apakah prosedur JANS untuk membuat pembaikan setelah menerima laporan kerosakan, Shahelmey berkata, setiap kerosakan yang diterima sepatutnya diambil tindakan oleh panel kontraktor yang dilantik atas dasar kerja-kerja kecemasan.
“Saya mengambil maklum tentang permasalahan ini dan akan menyemak semula dan akan memberi maklum balas secara bertulis.
“Namun demikian, apa yang dinyatakan oleh ADUN Sukau sebentar tadi bukanlah perkara yang hanya berlaku di Sukau.
“Ia juga berlakudi beberapa tempat di Sabah, maka dengan itu, kita melalui Kementerian Kerja Raya Sabah bersama JANS sedang memperinci dan memperkemaskan tatacara pemerolehan untuk kerja-kerja kecemasan ini dilakukan,” jelas beliau.


































