Anwar Ibrahim berucap pada Konvensyen 25 Tahun PKR di Shah Alam, Selangor, kelmarin.
SHAH ALAM: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan tidak ada mana-mana tindakan dalam kerajaannya menyinggung peranan dan kuasa Raja-Raja Melayu.
Hal tersebut termasuklah isu berkaitan afidavit yang dikemukakan kepada Mahkamah Tinggi oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berhubung titah Yang di-Pertuan Agong dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan.
Menurut Utusan Malaysia, Perdana Menteri berkata, sehingga kini kerajaan tidak mencampuri urusan badan kehakiman termasuk memastikan kebebasan pasukan pihak berkuasa termasuk Peguam Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan polis.
“Mereka harus bertindak dengan tegas tanpa campur tangan politik dan juga tentang peranan parlimen. Sekarang ini badan kehakiman dikenali sebagai badan yang bebas. Belum ada satu kes saya panggil hakim untuk berunding dalam mana-mana masalah.
“Ada teguran termasuk kes afidavit Timbalan Perdana Menteri dan saya turut diserang, saya tidak faham apa masalahnya, saya jawab itu menyinggung peranan Lembaga Pengampunan dan titah Yang di-Pertuan Agong, itu jawapan bagi saya mengikut perbincangan dengan Peguam Negara dan juga maklumat daripada Sultan dan Agong,” katanya ketika berucap pada Konvensyen 25 Tahun PKR, kelmarin.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, beliau menjelaskan titah adendum supaya bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menghabiskan baki tempoh pemenjaraan dengan tahanan di rumah adalah di bawah bidang kuasa Lembaga Pengampunan dan Yang di-Pertuan Agong.
Menurutnya semua pihak perlu menerima kenyataan berkenaan perkara itu dan terus memberi tumpuan bagi menjamin keamanan serta memperkukuh kestabilan politik dan membangunkan negara.
Dalam pada itu, Anwar yang juga Presiden PKR memaklumkan, kerajaannya tidak terjejas dengan pertikaian tersebut dan menjelaskan hubungan antara parti induknya, Pakatan Harapan (PH) bersama UMNO Barisan Nasional (BN) serta Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) masih kukuh.
Malah, beliau menyelar tindakan individu kononnya cuba menjadi pengulas dan pengkritik politik terkemuka yang cuba menjadikan isu tersebut sebagai modal untuk dibangkit dan dibahas dalam kalangan rakyat.
“Belum ada tindakan kerajaan yang menyinggung peranan dan kuasa raja-raja Melayu. Kalau tak faham tak layak jadi pembicara dan pengulas politik yang terkemuka. Jadi, agendanya hendak serang sahaja.
“Ada yang perlu dirunding di luar jemaah menteri, tetapi setakat ini belum ada tanda keretakan kecil sekali pun antara PH, UMNO BN, Sabah dan Sarawak, yang ada hanya gerombolan desperados yang cuba adu domba, saya katakan pada mereka good luck and good bye,” ujarnya.






























