GEORGE TOWN : Perselisihan faham dipercayai menjadi punca seorang wanita menyimbah air panas ke arah seorang lelaki Sindrome Down ketika berada dalam lif di sebuah pangsapuri di Bayan Lepas, Jumaat lalu.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden Kamarul Rizal Jenal berkata, berdasarkan siasatan awal, polis mendapati suspek dan mangsa saling mengenali serta tinggal dalam kawasan bangunan pangsapuri yang sama.
“Perselisihan faham antara suspek dan mangsa ini melibatkan perkara yang sensitif. Ia sudah berlaku agak lama iaitu dalam tempoh tiga atau empat tahun lalu.
“Ketika ini, siasatan masih berjalan dan polis sedang melengkapkan kertas siasatan kes ini sebelum pendakwaan dijalankan,” katanya di sini, hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan bahawa insiden suspek menyimbah air panas itu berlaku ketika mangsa ingin pulang ke rumahnya di tingkat 16 dan dia kemudian memaklumkan kejadian itu kepada adik perempuannya kira-kira pukul 9.20 pagi.
Berdasarkan laporan oleh adik perempuan mangsa, lelaki Sindrome Down berusia 33 tahun itu mendakwa telah disimbah asid oleh seorang wanita ketika berada di dalam lif sehingga melecur pada bahagian badan.
Mangsa seterusnya dibawa ke Hospital Pulau Pinang untuk menerima rawatan dan pegawai perubatan kemudian mengesahkan bahawa mangsa melecur pada sebahagian anggota badan akibat terkena air panas dan bukannya asid. Ketika ini, keadaan lelaki terbabit bagaimanapun dilaporkan stabil.
Video insiden di dalam lif yang berdurasi 20 saat itu turut tular melalui media sosial dan wanita tersebut juga menerima mengecam tindakan wanita terbabit.
Dalam pada itu, Kamarul Rizal berkata, siasatan awal setakat ini mendapati, suspek juga tidak mempunyai masalah kesihatan mental. Namun, polis akan menghantar mangsa untuk menjalani pemeriksaan lanjut.
“Polis telah merakamkan percakapan kira-kira tiga orang saksi, dan suspek direman sehingga Rabu ini. Mangsa juga difahamkan masih lagi menerima rawatan di hospital,” katanya.






























