Ewon Benedick
KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Persekutuan (KUSKOP) berkata, Kementeriannya dan Sekretariat SMJ (SSMJ) akan mengadakan perbincangan mengenai intervensi menangani insiden kemiskinan tegar di Sabah.
Beliau berkata, perbincangan itu adalah bagi merumuskan cadangan-cadangan intervensi keusahawanan dan pendidikan dalam usaha menangani insiden kemiskinan seterusnya melengkapi inisiatif-inisiatif yang telah dirancang.
“Saya ingin menyatakan komitmen untuk terus bekerjasama bagi membangunkan sektor keusahawan melalui Jawatankuasa Penyelarasan Pembangunan Keusahawanan Negeri Sabah seperti yang dihasratkan oleh Yang di-Pertua Negeri.
“KUSKOP akan menyusuli amanat ini dengan Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah bagi pembangunan komuniti perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dan koperasi di Sabah,” katanya ketika membahas ucapan dasar kerajaan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.
Ewon berkata, pencapaian pelaburan asing dengan nilai keseluruhan RM26.7 bilion dalam tempoh dua tahun iaitu 2021 hingga 2023 serta penurunan daftar miskin tegar daripada 22,150 kepada 12,555 isi rumah adalah dua pencapaian besar yang harus dihargai dan dibanggakan.
“Pada saya, kita bukan hanya perlu menarik pelaburan asing langsung ke Sabah, tetapi juga menyediakan premis, pembiayaan, program bimbingan dan promosi kepada komuniti PMKS.
“Saya berpandangan gerakan keusahawanan, gerakan koperasi dan gerakan pendidikan boleh membawa keluar keluarga miskin tegar di Sabah selain daripada bantuan rumah dan kebajikan,” katanya.
Beliau turut menghargai persetujuan Kerajaan Negeri menubuhkan Jawatankuasa Penyelarasan Bersama bagi menyelaras puluhan agensi dan jabatan terkait fungsi pembangunan keusahawanan agar memberikan impak maksimum kepada aktiviti ekonomi di Sabah.
Sementara itu, Ewon berkata, Kerajaan Negeri perlu tampil dengan satu pelan perancangan ekonomi sesuai dengan potensi yang ada di Borneo.
Beliau berkata, ini juga sejajar dengan pembangunan Ibu Kota Nusantara (IKN) Indonesia di Kalimantan, Borneo, yang dijangka memberi impak positif kepada ekonomi negeri Sabah.
“Oleh itu, saya mencadangkan kepada Kerajaan Sabah agar tampil dengan satu pelan rancangan ekonomi yang progresif untuk dikemukakan dan dituntut daripada Kerajaan Persekutuan terutama dalam penyediaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) 2026-2030.
“Jika Indonesia sedang membangunkan IKN di Kalimantan, manakala Thailand pula mulai bercakap membina terusan kapal mereka.
“Maka kita di Sabah perlu tampil kompetitif dalam perancangan potensi ekonomi masa depan terutama aktiviti perdagangan yang aktif di Laut Sulu dan aktiviti perhubungan udara Borneo yang rancak di Sabah,”kata Ahli Parlimen Penampamg itu.
Ewon berkata, Kerajaan Indonesia yang sedang rancak membangunkan Ibu Kota Nusantara di Kalimantan, Borneo, adalah pengiktirafan mereka kepada potensi yang amat besar di Pulau Borneo.
“Saya menjangkakan mereka akan mulai berpindah ke IKN pada tahun ini juga.
“Dalam hubungan ini, sudah tiba masanya Kerajaan Sabah tampil dengan satu rancangan “dasar pandang ke Timur dalam negara” iaitu membangunkan Sabah (dan Sarawak) sebagai hub ekonomi Malaysia yang Baharu,” katanya.
Ewon juga mencadangkan agar perkataan “Momogun” digunakan bagi menggantikan “Lain-Lain” dalam borang rasmi kerajaan.
Beliau yang juga Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu turut mencadangkan supaya Kerajaan Negeri menghimpunkan rumpun etnik Orang Asal di Sabah sebagai rumpun Momogun, seterusnya diguna untuk menggantikan ruangan Lain-Lain dalam borang-borang rasmi Kerajaan.
“Dalam beberapa borang rasmi kerajaan yang bertujuan mendapatkan maklumat kaum. Selain Melayu, Cina dan India, maklumat kaum yang selebihnya dinyatakan sebagai Lain-Lain.
“Saya ingin bertanya kepada Kerajaan Sabah samada bersedia memulakan perbincangan dengan pihak-pihak berkepentingan termasuk Kerajaan Persekutuan bagi mencari formula terbaik menggantikan column Lain-Lain tersebut kepada istilah rumpun etnik yang lebih realistik dan progresif,” katanya.
Ewon berkata, Kerajaan Malaysia merupakan antara yang menandatangani United Nations Declaration on the Rights of Indigenous Peoples (UNDRIP).
“Manakala Sabah pula mempunyai demografi Orang Asal yang besar. Pada saya, meletakkan istilah “Lain-Lain” dalam borang-borang rasmi Kerajaan tidak menggambarkan penghormatan kepada rumpun Orang Asal.
“Saya percaya proses ini perlu bermula daripada peringkat Kerajaan Negeri.
“Justeru saya mencadangkan agar perbincangan rasmi dapat dimulakan untuk menimbang syor-syor daripada pelbagai pihak termasuk cadangan saya untuk merumpunkan Orang Asal ini sebagai Momogun,” katanya.