Tan Lee Fatt
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri berhadapan dengan cabaran dan kekangan dalam pengiraan amaun Pemberian Khas ekoran data kewangan Kerajaan Persekutuan yang tidak lengkap.
Pembantu Menteri Kewangan, Tan Lee Fatt berkata, pelbagai kaedah dan inisiatif telah dilakukan untuk mendapatkan data-data tersebut daripada Kerajaan Persekutuan.
“Kerajaan Negeri telah mengemukakan lapan surat permohonan perkongsian data kepada Kerajaan Persekutuan sejak Januari tahun 2022, namun Kerajaan Persekutuan masih belum membekalkan data sehingga kini kecuali daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia.
“Oleh hal yang demikian, Jawatankuasa Penyemakan Nilai Pemberian Khas Negeri Sabah telah mencadangkan agar Kerajaan Negeri mengambil pendekatan untuk membuat tuntutan secara berfasa dengan strategi rundingan yang akan dibentangkan kepada Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri pada waktu yang ditentukan nanti,” katanya.
Menurut beliau, Kerajaan Negeri telah menubuhkan Jawatankuasa Penyemakan Nilai Pemberian Khas Negeri Sabah bagi tujuan menyemak dan memuktamadkan nilai amaun Pemberian Khas.
Katanya, Jawatankuasa ini dipengerusikan bersama oleh Peguam Besar Negeri Sabah serta Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan Negeri Sabah.
“Ahli-ahli Jawatankuasa juga terdiri daripada Penasihat Undang-undang Kepada Ketua Menteri, Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri, Bendahari Negeri dan seorang Penasihat Bebas.”
Beliau berkata, antara tindakan yang telah diambil menerusi Jawatankuasa ini adalah:
* Mengkaji, menyemak dan meneliti formula asal pengiraan Pemberian Khas;
* Mengkaji, menyemak dan meneliti istilah “Hasil Bersih”;
* Mengkaji, menyemak dan meneliti data (termasuk mengenal pasti hasil-hasil Persekutuan di Sabah, data perbelanjaan mengurus dan perbelanjaan pembangunan oleh Kerajaan Persekutuan di negeri Sabah, keperluan kewangan Kerajaan Negeri dan dokumen pengiraan Pemberian Khas bagi tahun-tahun awal seperti 1963, 1964 dan 1965).
Tan menjawab pertanyaan Datuk Seri Bung Moktar bin Radin (Lamag) dan Datuk Ewon Benedick (Kadamaian) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini hari ini.
Bung Moktar bertanya adakah Kerajaan Negeri berhasrat untuk mencadangkan penaksir bebas dilantik menurut Perkara 112D Fasal 6 bagi menentukan jumlah wajar Pemberian Khas daripada Kerajaan Persekutuan sebagaimana peruntukan Perlembagaan Persekutuan Jadual Kesepuluh Bahagian Empat Subseksyen 2(1), manakala bertanya adakah Kerajaan Negeri telah mengenal pasti hasil-hasil persekutuan di Sabah dan berapakan jumlah setiap hasil tersebut serta adakah tuntutan secara rasmi telah dikemukakan kepada Kerajaan Persekutuan bagi menuntut pembayaran 40% di bawah Perkara 112C Perlembagaaan Persekutuan.
Tan berkata, Kerajaan Negeri telah pernah mengemukakan kepada Kerajaan Persekutuan pada 10 Jun 2022, menerusi Menteri Kewangan Malaysia, pengiraan Pemberian Khas untuk tahun 2021 menggunakan formula di Perkara 112C dan Bahagian IV Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, di bawah Kerajaan Persekutuan pada masa kini, menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) Bil 01/2023 yang telah diadakan pada 18 Julai 2023, keputusan yang dicapai juga adalah Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah akan meneruskan rundingan bagi memuktamadkan formula Pemberian Khas.
Tempoh masa rundingan adalah satu tahun bermula daripada tarikh mesyuarat ini iaitu 18 Julai 2024.
“Seperti yang pernah ditekankan sebelum ini, Kerajaan Negeri Sabah berpegang teguh untuk mengekalkan formula asal Pemberian Khas seperti yang termaktub di Perkara 112C dan Bahagian IV Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan iaitu dua per lima atau 40% daripada Hasil Bersih Persekutuan di Sabah.
“Semenjak rundingan ke atas amaun Pemberian Khas ini dimulakan, Kerajaan Persekutuan telah membayar RM125.6 juta pada tahun 2022 dan seterusnya RM300 juta pada tahun 2023 yang mana Kerajaan Negeri bersetuju menerima bayaran tersebut sebagai penyelasaian secara interim.
“Suka saya ingatkan bahawa perkara mengenai Pemberian Khas ini masih dalam proses rundingan, saya yakin dan percaya rundingan Kerajaan Persekutuan dan Negeri akan membuahkan hasil yang kita nantikan sekian lama untuk kepentingan dan kesejahteraan rakyat di negeri ini.
“Walau bagaimanapun, apabila tempoh rundingan satu tahun ini tamat dan jika rundingan tersebut gagal mencapai sebarang persetujuan, maka Kerajaan Negeri mempunyai pilihan untuk melantik seorang pentaksir bebas selaras dengan Perkara 112D(6) Perlembagaan Persekutuan.
“Saya tegaskan bahawa soal memperjuangkan hak-hak negeri Sabah, tiada titik noktah pernah terlintas di benak fikiran Kerajaan Negeri apatah lagi mengenai hak-hak yang telah pun dipersetujui di bawah Perjanjian Malaysia 1963,” kata Tan.


































